arena

Galatasaray pecat Tudor

Oleh Reuters

ANKARA: Galatasaray mengumumkan perpisahannya dengan jurulatih dari Croatia, Igor Tudor, selepas kelab gergasi Turki itu melepaskan genggamannya selaku pendahulu liga apabila dipalit kekalahan keempat musim ini.

Tudor yang menyertai Galatasaray dari kelab Karabukspor pada pertengahan musim lalu dikritik hebat selepas membenarkan skuad kendaliannya melepaskan kelebihan lapan mata di puncak liga, sebelum tergelincir ke tangga kedua, Ahad lalu.

Galatasaray akan mengadakan kongres luar biasa pada 13 Januari ini bagi melantik lembaga pengarah serta pengerusi kelab yang baharu.

Ahad lalu, Galatasaray dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada kelab yang baharu dinaikkan pangkat, Yeni Malatyaspor.

Sejurus kekalahan, Tudor mengkritik media dan tidak menyertai sidang media selepas perlawanan.

“Kamu suka berkata, apabila kami menang ia disebabkan kami mempunyai pemain yang baik dan apabila kami kalah, ia kerana jurulatih,” kata Tudor dalam keadaan marah selepas mendakwa dia diberi tekanan supaya meletakkan jawatan.

“Apa yang saya dapat faham di sini, di Turki adalah ia tempat yang luar biasa bagi saya, terutama di Galatasaray.

“Hanya dua perkara yang popular di sini. Tudor istifa (letak jawatan), dan meletakkan kesalahan kepada sistem. Ia adalah penjelasan yang amat mudah bagi bola sepak Turki.”

Galatasaray mengharungi sembilan perlawanan tanpa kalah pada permulaan musim sebelum mengharungi kekalahan 1-2 kepada Trabzonspor pada Oktober.

Sejak itu, mereka tewas tiga daripada enam perlawanan termasuk ketika dibelasah Istanbul Basaksehir 1-5 dan kekalahan 0-3 kepada Besiktas.

Basaksehir merampas tangga teratas liga, Ahad lalu selepas mengumpul 33 mata daripada 16 perlawanan, dengan Galatasaray ketinggalan satu mata.

Galatasaray adalah kelab Turki paling berjaya dengan memiliki 20 gelaran liga domestik. Mereka menjadi kelab Turki pertama memenangi trofi utama Eropah apabila menjulang gelaran Piala UEFA pada 2000, saingan yang kini digantikan dengan Liga Europa.

Disiarkan pada: December 19, 2017 @ 12:55pm
d