arena

'Buat apa tangguh 18 bulan?'

Oleh Haika Khazi

PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) didesak mempercepatkan tarikh mesyuarat agungnya (AGM) bagi memilih pucuk pimpinan baharu susulan pelbagai masalah yang melanda sukan tradisi itu sejak kebelakangan ini.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS), Datuk Markiman Kobiran, berkata beliau pelik dengan tindakan pengurusan tertinggi PSM yang masih mahu menangguhkan AGM berkenaan biarpun tempoh mandat sebenar mereka sudah tamat September lalu.

“Apa tujuan pengurusan tertinggi PSM mahu menangguhkan pemilihan jawatan sampai 18 bulan? Jika mereka memberi alasan tidak mahu mengganggu persiapan skuad negara menghadapi Sukan Asia 2018, ia jelas tidak masuk akal.

“Pemilihan PSM tidak ada kena mengena dengan persiapan skuad negara kerana pemain menjalani latihan di bawah Program Podium,” katanya yang sedia menawarkan diri menggantikan Datuk Ahmad Ismail untuk menerajui PSM.

Mengulas lanjut, Markiman yang pernah bertanding untuk merebut jawatan timbalan presiden pada 2014 menjelaskan pemilihan perlu diadakan segera bagi membolehkan 20 ahli gabungan badan induk itu memberi nafas baharu kepada sukan tradisi itu.

“Saya amat sedih apabila sukan tradisi ini digugurkan daripada sukan teras. Lebih memeritkan, skuad negara diaibkan oleh Korea Selatan dalam separuh akhir Piala Raja Thailand, Ahad lalu.

“Justeru, ahli gabungan PSM perlu melakukan perubahan dalam mengangkat semula martabat sukan tradisi ini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kesediaan Ahmad untuk tidak mempertahankan jawatannya jika ada individu lain lebih layak untuk mengambil alih tempatnya pada AGM badan induk itu.

Bagaimanapun, Ahmad yang menyandang jawatan itu sejak 2002, berkata beliau tidak teragak-agak untuk terus mempertahankan kerusi panas itu jika individu berkenaan hanya mahu menggunakan kedudukan selaku presiden untuk meraih keuntungan peribadi dan politik.

Berikutan itu, Ahmad mencabar mana-mana pihak atau individu yang merasakan diri mereka layak menjadi presiden supaya tampil menawarkan diri untuk bertanding jawatan berkenaan.

Disiarkan pada: December 19, 2017 @ 6:17pm
d