arena

KLFA masih samar ikat import Indonesia

Oleh Zulfaizan Mansor

IMPIAN Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) untuk mengikat pemain dari Indonesia bagi mengisi kuota import Asia Tenggara masih samar.

Ia susulan pemain berkenaan masih belum memberi kata putus selepas kenyataan Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Edy Rahmayadi yang didakwa tidak menggalakkan pemain republik itu beraksi di Liga Malaysia (Liga M).

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, Ahad lalu menjelaskan PSSI tidak menghalang pemainnya beraksi di Liga M dan kenyataan yang dikeluarkan Edy itu lebih kepada nasihat kepada pemain republik itu.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa pula mengakui bimbang jika pemain dihimpit perasaan takut untuk keluar selepas kenyataan yang dikeluarkan Edy.

“Setakat ini tiada apa-apa perkembangan lagi mengenai pemain yang kita mahukan itu dan kami masih berbincang serta menunggu keputusan daripada dia.

“Memang kenyataan daripada Datuk Hamidin itu melegakan kami, tapi mungkin pemain itu bimbang untuk beraksi di liga luar.

“Sekarang ini terpulang kepada pemain itu sendiri untuk membuat keputusan dan bagi pihak kami sudah pasti mahu dia menyertai pasukan Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, pemain yang berada dalam radar skuad The City Boys itu adalah tonggak pertahanan kelab Persib Bandung, Achmad Jufriyanto atau lebih dikenali sebagai Jupe.

Jupe yang sudah mencecah 30 tahun pernah menjalani sesi ujian bersama Terengganu pada penghujung 2015.

Disiarkan pada: December 19, 2017 @ 7:41pm
d