arena

Ketiadaan Zhuliang cetus impak besar

Oleh Farah Azharie

BEKAS penerjun negara Yeoh Ken Nee dan Bryan Nickson Lomas terkejut apabila mendengar berita kontrak ketua jurulatih Yang Zhuliang bersama Program Podium Institut Sukan Negara (ISN) tidak dilanjutkan.

Ken Nee, penerjun negara pertama layak ke Sukan Olimpik, tahun 2000 di Sydney, membaca berita bekenaan jurulatih dari China itu menerusi laman Facebook dan dia terkejut serta kecewa dengan perkembangan itu.

“Kami terkejut dan tidak tahu mengapa ISN dan ASUM (Kesatuan Renang Amatur Malaysia) mengambil keputusan sebegini. Kami tidak dapat menerangkan sebab mereka melakukannya dan kami juga ingin tahu punca sebenar ia berlaku,” kata Ken Nee yang pernah memenangi 15 pingat emas Sukan SEA.

“Kami semua tidak menjangka ia akan berlaku dan amat terkejut. Kami ada bertanya kepada mereka (ISN) tetapi mereka berkata ‘ia belum disahkan, jangan buat spekulasi, tunggu dulu’ dan semalam saya baca di akhbar, ia memang betul.

“Jika saya masih bertanding sekarang, saya pasti hilang arah tanpa bimbingannya. Saya berani katakan yang tidak ada jurulatih lain dari China yang mampu melakukan sebaiknya.

“Jika dia meninggalkan pasukan, seluruh pasukan akan kehilangan seorang perancang yang baik, dan dalam tempoh itu ia akan memberi impak yang besar ke atas mereka di atas kehilangan ketua jurulatih itu.”

Bryan sebaliknya berpendapat, Zhang Yukun yang dilantik sebagai jurulatih sementara mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Zhuliang.

“Saya sentiasa memandang tinggi jurulatih dari China dan Zhang akan menjadi jurulatih yang baik. Saya pernah berlatih dengannya dan saya rasa dia melakukan tugas dengan baik kerana saya yakin dengan jurulatih-jurulatih dari China,” kata Bryan yang pernah memenangi pingat gangsa Piala Dunia Terjun FINA.

ISN hari ini mengeluarkan kenyataan mengesahkan situasi Zhuliang di mana kontraknya tidak diperbaharui dan Zhang dilantik sebagai ketua jurulatih sementara.

Disiarkan pada: December 19, 2017 @ 8:14pm
d