arena

Atletico buat laporan kepada FIFA

Oleh AFP

MADRID: Atletico Madrid membuat laporan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berkenaan rundingan haram dilakukan Barcelona ke atas bintangnya Antoine Griezmann.

“Laporan dibuat berkenaan hubungan berulang kali antara Barcelona, pemain dan pasukannya,” kata sumber dalaman Atletico kepada AFP.

Griezmann memperbaharui kontraknya sehingga tahun 2022 Jun lalu dan Atletico menganggap perbuatan Barcelona bukan saja melanggar peraturan FIFA, tetapi mampu memberi kesan kepada integriti La Liga.

Barcelona ketika ini mendahului liga dengan Atletico yang menjadi pesaing utama, ketinggalan enam mata di tangga kedua.

“Dia seorang pemain yang mempunyai kontrak panjang dan ini tidak boleh berlaku. Malah kelab menganggap ia akan memberi kesan kepada pertandingan di mana Barca kini di tangga teratas dan Atletico kedua,” kata sumber itu lagi.

Barca dikenakan penggantungan perpindahan selama setahun oleh FIFA kerana mengambil pemain muda dari luar secara salah, dan sudah menjalani hukuman berkenaan pada tahun 2015.

Sekiranya gergasi Catalan itu sekali lagi didapati bersalah, mereka akan dikenakan penggantungan kali kedua dalam mendaftarkan pemain baharu.

Akhbar sukan berpangkalan di Barcelona, Mundo Deportivo Ahad lalu melaporkan, presiden Barca Josep Maria Bartomeu baru-baru ini bertemu dengan keluarga Griezmann.

Barca dikatakan sanggup membayar 100 juta euro (RM482.4 juta) kepada pemain Perancis itu untuk membayar pampasan kontraknya akhir musim ini, sekali gus mengelakkan sebarang rundingan dengan Atletico.

Griezmann, 26, bersetuju menandatangani kontrak baharu bersama Atletico Jun lalu selepas rayuan kelab terhadap penggantungan perpindahan pemain ditolak.

Griezmann sudah meledak 90 gol dalam 179 penampilannya bersama Atletico sejak berpindah dari Real Sociedad pada tahun 2014 dan membimbing Los Rojiblancos ke final Liga Juara-Juara 2016, dan meledak dua gol untuk menyingkirkan Barca di suku akhir.

Disiarkan pada: December 20, 2017 @ 12:53am
d