arena

TFC II tetap bernafsu

Oleh Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Biarpun tampil sebagai pasukan sokongan, Terengganu FC II (TFC II) tetap bernafsu besar bersaing dalam Liga Perdana musim depan apabila mengikat bekas penyerang import Negeri Sembilan, Bruno Junichi Suzuki, semalam.

Penyerang yang meledak 12 gol bersama skuad Rusa musim ini menjadi pemain import kedua TFC II selepas menyambar bekas penyerang UiTM FC, Akanni-Sunday Wasiu.

Penyerang berusia 27 tahun kelahiran Brazil itu berkata, dia mahu beraksi cemerlang dengan Negeri Sembilan dapat diteruskan bersama TFC II dalam saingan Liga Perdana musim depan.

Katanya, dia akan menyesuaikan diri dengan lebih cepat dengan rakan sepasukan dan corak permainan diterapkan ketua jurulatih, Mustaffa Kamal Abd Wahad.

“Saya berjanji akan memberikan aksi yang lebih baik berbanding mewakili pasukan lama, Negeri Sembilan dan mahu lebih berjaya pada musim 2018.

“Saya bertekad memastikan TFC II antara pasukan terbaik dalam saingan Liga Perdana musim depan,” katanya selepas mengikat kontrak setahun di Pejabat Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Sementara itu, Pengurus pasukan TFC II, Jasmira Othman, berkata pasukan kendalian Mustaffa Kamal bakal menggunakan empat awang import musim depan.

Katanya, pihaknya sudah mengikat Sunday Wasiu dan Suzuki manakala dua lagi awanng import dijangka tiba ke Teerengganu Januari 2018.

“Dua pemain import kelahiran Haiti akan bermain di posisi pertahanan dan tengah.

Mereka kini masih bermain dengan kelab masing-masing dan akan melapor diri bersama TFC II Januari 2018.

“Biarpun TFC II ini dijadikan pasukan ‘feeder’ kepada TFC I, namun kita tetap meletakkan sasaran berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik dalam saingan Liga Perdana musim depan,” katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2017 @ 8:56am
d