arena

Wagner sengaja reka cerita

Oleh AFP

LONDON: Ejen yang kini jadi ‘orang tengah’ penyiasatan surat khabar British terhadap juara dunia 100 meter, Justin Gatlin berkata, beliau sengaja mereka cerita tentang bahan terlarang bagi menarik perhatian wartawan yang menyamar.

Robert Wagner yang sering mewakili Gatlin dan jurulatihnya, Dennis Mitchell, dirakam secara curi-curi oleh Daily Telegraph yang mendakwa kedua-duanya boleh mendapatkan hormon untuk menstabilkan pertumbuhan dengan nilai AS$250,000 (RM1 juta)

Wartawan berkenaan dilaporkan bertemu dengan kedua-duanya di pusat latihan Gatlin di Florida, ketika penerbitnya menyatakan minat untuk merakam filem mengenai pelari pecut.

Namun menerusi kenyataan kepada Persatuan Media Britain, Wagner berkata kisah itu dianggap ‘cacat’ kerana ia diambil berdasarkan komen palsu yang dibuatnya bagi menarik perhatian wartawan berkenaan.

“Ia hanya rekaan. Saya bukan sumber sebenar atau individu yang membekalkan bahan yang diminta oleh wartawan berkenaan.

“Saya minta maaf kepada Gatlin, pengurusannya dan keluarganya kerana saya bercakap perkara yang tidak betul tentang beliau.

“Saya juga meminta maaf kepada atlet lain yang turut terkena tempias susulan kata-kata saya.”

Disiarkan pada: December 20, 2017 @ 9:36am
d