arena

Hairi ganti Kumar

Oleh Naqib Nor Said

KETIADAAN S Kumar tidak memberi kesan misi Tenaga Nasional Berhad (TNB) memburu pencapaian lebih baik pada saingan Liga Premier 2018, apabila mengenal pasti Hairi Abdul Rahman sebagai calon pengganti paling sesuai.

Kumar yang juga penjaga gol terbaik Asia, terpaksa melupakan saingan musim depan selepas disahkan positif doping jenis sibutramine kelmarin.

Justeru, ketiadaan penjaga gol berusia 38 tahun itu memaksa TNB menaikkan pangkat Hairi daripada TNB Thunderbolts selepas sudah semusim bersama pasukan kedua TNB itu.

Ketua Jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasruddin ketika mengesahkannya bagaimanapun berkata ia bukan masalah besar kerana beliau memiliki pengganti berwibawa.

“Ketiadaan Kumar memang dirasai tetapi saya tidak merasakan ia akan membawa kesan. Kita sudah putuskan untuk Hairi gantikan tempatnya.

“Kini hanya tinggal Hairi untuk buktikan dia benar-benar layak menggantikan Kumar. Lagipun dia yang terbaik kami miliki selepas Kumar.

“Sebagai penjaga gol ketiga negara dia kena segera sesuaikan diri dengan tanggungjawab lebih besar dan manfaatkan sebaik mungkin peluang ini,” katanya semalam.

Tempat Hairi dalam TNB Thunderbolts pula digantikan penjaga gawang pasukan Piala Razak Johor, Muhammad Fahmi Zakaria yang bakatnya diasah oleh Sekolah Menengah Dato’ Bentara Luar, Johor.

Pada masa sama Nor Saiful berharap Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan Institut Sukan Negara (ISN) melakukan sesuatu bagi memastikan hanya hukuman minimum yang dikenakan ke atas Kumar.

“Untuk Kumar apa yang terbaik buatnya adalah MHC dan ISN cuba mendapatkan hukuman minimum bagi membolehkan dia kembali beraksi pada Sukan Asia dan Piala Dunia yang dijadualkan berlangsung hujung tahun depan.

“Inilah lumrah yang perlu kita telan sebagai pemain. Kadang kala tanpa kita sedari kita termakan benda yang kita tidak tahu kandungan sebenarnya dan saya berharap semua atlet di luar jadikan ia sebagai pengajaran.”

Nasib Kumar bagaimanapun belum dapat dipastikan ketika penjaga gol negara itu enggan melakukan ujian sampel B sebaliknya mahu terus ke sesi pendengaran bersama FIH dalam tempoh terdekat.

Disiarkan pada: December 20, 2017 @ 1:08pm
d