arena

Dapatkan nasihat FAM, FMLLP dulu

Oleh Zulfaizan Mansor

SEMUA persatuan negeri dan kelab Liga Malaysia (Liga M) diminta mendapat nasihat daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) sebelum menandatangani mana-mana jurulatih.

Perkara itu disuarakan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan yang menjelaskan ia penting bagi memastikan jurulatih yang mempunyai kelayakan sahaja dapat membimbing pasukan dalam Liga M.

Katanya, ia susulan terdapat beberapa kes sebelum ini di mana ada jurulatih yang tidak mempunyai sijil kelayakan atau lesen A tetapi dilantik sebagai ketua jurulatih.

“Ia akan menimbulkan masalah kepada pasukan jika ikat kontrak jurulatih yang tidak berkelayakan. Lebih sukar apabila jurulatih itu sudah memulakan tugas.

“Ada jurulatih luar yang pakai sijil ‘koboi’ selain jurulatih tempatan yang menggunakan konsep ‘Ali Baba’. Macam apa yang berlaku kepada pasukan Kelantan musim lalu selepas mereka melantik pengarah teknikal sebagai jurulatih.

“Dia pengarah teknikal, mana boleh jadi jurulatih dan lepas itu prestasi pasukan jatuh. Jadi benda macam ini yang kita mahu elak dan jangan cuba cari penyakit.

“Selain daripada FAM dan FMLLP, persatuan negeri atau kelab juga boleh mendapatkan bantuan daripada kami untuk menyemak latar belakang jurulatih yang ingin diambil,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada pertengahan musim lalu, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menimbulkan kontroversi apabila melantik pengarah teknikal pasukan, Alfredo Gonzales yang tidak mempunyai sijil kelayakan atau lesen A mengendalikan The Red Warriors (TRW) bagi menggantikan Zahasmi Ismail.

Selain itu, Sathianathan turut menyifatkan kekurangan kes membabitkan isu merehatkan atau tunggakan gaji jurulatih menunjukkan pasukan dalam Liga M sudah semakin profesional.

“Ada banyak perubahan sejak FAM diambil alih oleh presiden baharu (Tunku Ismail Sultan Ibrahim). Kita nampak beliau benar-benar tegas dan menyebabkan semua persatuan atau kelab takut untuk melakukan kesalahan.

“Bagi saya, apa yang paling bagus adalah pengenalan sistem pelesenan kelab yang menetapkan syarat pasukan berdepan masalah tunggakan gaji atau kewangan, lesen mereka boleh ditarik balik.

“Ia satu langkah yang bagus demi masa depan bola sepak kita walaupun pasukan saya sendiri (FELDA United) yang kena (tindakan diturunkan ke Liga Perdana),” katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2017 @ 8:01pm
d