arena

Dimas, Ilham tiba Jumaar ini

Oleh Syafiq Aznan

SELANGOR perlu menunggu dua hari lagi untuk menyaksikan kelibat tonggak import baharu, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn selepas mereka hanya akan menyertai latihan pasukan itu, Jumaat ini.

Perkembangan itu dimaklumkan pengendali The Red Giants, P Maniam yang mengesahkan dua bintang muda skuad Garuda itu diberi rehat untuk tempoh beberapa hari sebelum memulakan sesi latihan bersama pasukan baharu mereka.

“Kita beri pelepasan kepada mereka sehingga tugasan bersama skuad kebangsaan mereka berakhir. Ini kerana kami mahukan mereka berehat sepenuhnya sebelum menyertai latihan pasukan dalam keadaan yang terbaik, Jumaat ini.

“Kehadiran mereka sudah pasti akan memberi lebih keyakinan kepada pemain lain kerana kualiti dan kelincahan mereka akan memberi dimensi yang berbeza pada sesi latihan nanti,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Padang Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), hari ini.

Selain Dimas dan Ilham, seorang lagi pemain import juga daripada Indonesia, William Pacheco yang beraksi di posisi pertahanan turut dijangka menyertai latihan skuad Merah Kuning itu, Jumaat ini.

Mengulas lanjut mengenai keadaan dua pemain import itu, bekas pengendali Air Asia FC itu menjelaskan pemain import terbabit perlu menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sebelum dibenarkan menyertai latihan.

“Mereka tiba ke sini selepas menamatkan latihan bersama skuad kebangsaan jadi kita perlu membuat pemeriksaan bagi memastikan kecergasan mereka berada pada tahap memuaskan.

“Selain itu, kita juga mahu memastikan mereka tidak berdepan dengan sebarang kecederaan serius. Pakar fisioterapi pasukan akan membuat penilaian secara mendalam selepas pemeriksaan kesihatan ke atas mereka dilakukan nanti, ” katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2017 @ 10:28pm
d