arena

MSN tunggu Zhuliang 'buka mulut'

Oleh Fadhli Ishak

MAJLIS Sukan Negara (MSN) hanya menunggu jawapan daripada ketua jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang sama ada menerima atau tidak berhubung tawaran yang dikemukakan kepadanya.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengesahkan pihaknya sudah mengemukakan tawaran kepada Zhuliang untuk memainkan salah satu peranan dalam program pembangunan selepas kontraknya sebagai jurulatih skuad elit tidak disambung.

Shapawi bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai peranan yang diberikan kepada jurulatih dari China itu.

“Ya, saya sudah berjumpa dengan Zhuliang dan menjelaskan kepada dia mengenai perkara ini (peranan dalam program pembangunan). Zhuliang faham dan saya percaya kita perlu beri dia ruang untuk membuat keputusan sama ada menerima atau sebaliknya,” kata Shapawi ketika dihubungi hari ini.

Zhuliang yang mengakui tidak menerima sebarang tawaran dari negara lain semalam berkata, dia tidak terlalu teruja dengan peranan baharu yang ditawarkan kepadanya tetapi menegaskan bakal mempertimbangkan tawaran berkenaan.

Terdahulu, ISN yang mengendalikan Program Podium mengesahkan kontrak Zhuliang yang tamat hujung bulan ini tidak akan disambung dengan alasan jurulatih dari China itu tidak memberi kerjasama dalam mengamalkan sains sukan di dalam corak latihannya.

ISN dijangka membawa masuk jurulatih dari Australia, Christian Brooker bagi menggantikan Zhuliang, Januari depan.

Disiarkan pada: December 21, 2017 @ 8:21pm
d