arena

'Iran juga hebat bersilat'

Oleh Azlan Muhammad Zain

PERSEKUTUAN Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) menegaskan cabaran skuad negara pada Sukan Asia di Indonesia, Ogos depan bukan sahaja dari kalangan negara Asia Tenggara.

Setiausaha Agungnya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, sebaliknya mengingatkan kebangkitan beberapa negara Asia yang lain untuk mencabar bagi merebut 16 emas yang dipertandingkan pada temasya peringkat benua itu.

“Kita tidak boleh hanya memandang cabaran tuan rumah, Indonesia dan Vietnam. Negara lain di luar Asia Tenggara seperti Iran, Korea Selatan dan Uzbekistan perlu diberikan perhatian kerana mereka melakukan persiapan rapi secara senyap.

“Jadi, kita perlu mengambil pendekatan dan menyusun latihan sebaik mungkin,” jelasnya.

Silat pertama kali dipertandingkan di Sukan Asia dengan 16 emas menjadi taruhan membabitkan acara seni dan tempur.

Ia sekali gus menjadikan skuad silat antara sandaran utama menyumbang pingat kepada kontinjen negara selepas beraksi cemerlang di Sukan SEA Ogos lalu apabila meraih 10 emas.

“Masih terlalu awal untuk kita meletakkan sasaran di Sukan Asia.

“Bagaimanapun, kami akan menggunakan pendekatan yang sama ketika membentuk dan menghasilkan kecemerlangan di Sukan SEA yang lalu iaitu semua Exco terbabit dalam pembentukan pasukan,” tambahnya.

Disiarkan pada: December 21, 2017 @ 8:40pm
d