arena

Quraataina dahaga trofi

Oleh Haika Khazi

JAGUH basikal lasak wanita negara, Noor Quraataina Mamat menyasarkan untuk muncul juara di perlumbaan basikal lasak BMX sempena Karnival Belia Selangor di Gua Damai, Gombak, Selangor akhir bulan ini.

Sebagai persiapan awal, Quraataina kini giat menjalani latihan intensif di bawah kendalian Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) di Taman Cabaran Putrajaya bagi memastikan kejuaraan dalam perlumbaan yang bakal berlangsung dari 28 hingga 31 Disember ini.

Bagi Quraataina, penyertaannya ke perlumbaan basikal lasak sempena Karnival Belia Selangor itu penting sebagai medan pemanas badan dan sebahagian daripada rutin latihannya sebelum menyertai pelbagai kejohanan lain tahun depan.

“Penyertaan saya ke perlumbaan ini penting dan dapat membantu meningkatkan prestasi saya ke tahap terbaik sekiranya layak mewakili negara ke Sukan Asia Jakarta 2018 dan Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti.

“Saya harap dapat melakukan yang terbaik dan muncul juara keseluruhan nanti bagi menebus kekecewaan hanya menduduki tempat ketiga selepas terjatuh dalam perlumbaan BMX di Sendayan, Negeri Sembilan, awal bulan ini,” katanya.

Pada temasya KL2017 lalu, Quraataina meraih gangsa selepas ketinggalan di belakang atlet Indonesia, Elga Kharisma Novanda yang memenangi emas dan pemenang perak dari Thailand, Chutikan Kitwanitsathian.

Disiarkan pada: December 21, 2017 @ 10:06pm
d