arena

Neymar yakin singkir Real

Oleh AFP

DOHA: Neymar percaya Paris Saint-Germain (PSG) mampu melakar sejarah dengan menyingkirkan juara bertahan dan pemegang rekod kejuaraan ke-12, Real Madrid apabila kedua-dua pasukan dijadual bertemu dalam aksi 16 terbaik Liga Juara-Juara.

Pendahulu liga Perancis ini dipertemukan dengan tonggak Real, Cristiano Ronaldo dalam pusingan berkenaan dan kelab berbelanja besar itu pastinya ingin ‘menuai hasil’ selepas melakukan pelaburan besar pada musim panas lalu.

“Kami tahu ia akan menjadi perlawanan sengit apabila menentang sebuah pasukan yang sudah kerap bersaing bersama sejak beberapa tahun ini dan juga sentiasa mahukan kemenangan, tetapi kami mampu menewaskan mereka,” kata Neymar sebaik saja PSG tiba di sini untuk kem latihan musim sejuk mereka.

“Kami mampu mencipta sejarah. Kami berada di sini untuk matlamat itu, bermain bola sepak dan kami mahu melakukan apa juga termampu untuk meraih kemenangan,” tambah pemain Brazil itu yang dibeli PSG dengan harga rekod dunia, 222 juta euro (RM1.07 bilion) Ogos lalu dari Barcelona.

PSG tidak pernah melangkah melepasi suku akhir dalam Liga Juara-Juara sejak kelab berkenaan diambilalih pemilik dari Qatar pada 2011.

Mereka dijadual berkunjung ke Madrid untuk aksi pertama pusingan 16 terbaik pada Februari ini sebelum melayan kunjungan lawan mereka itu di Parc des Princes, 16 Mac.

Neymar yang diundi di tempat ketiga untuk anugerah Ballon d’Or tahun ini juga mengakui sukar untuk dirinya memenangi anugerah tahun depan - satu penghargaan yang saling beralih tangan antara Ronaldo dan Lionel Messi sejak sedekad lalu.

“Ia bukan saja terjadi ke atas saya tetapi juga rakan pasukan saya. Apakah yang kami peroleh tahun ini. Yang jelasnya, Piala Dunia akan menjadi sangat penting... tetapi kami harus melakukan tugasan dengan sebaiknya apatah lagi pasukan akan menjadi keutamaan dan kemudian barulah memikirkan perkara individu,” kata pemain Brazil itu.

Neymar sudah meledak 17 gol dalam 20 perlawanan sejak tiba di Paris namun Kylian Mbappe percaya bahagian serangan pasukan akan menjadi lebih kuat selepas ini.

“Kami mempunyai bahagian serangan yang hebat dan saya fikir kami mampu melakukan yang lebih baik lagi,” kata Mbappe. “Kami sudah bersama selama lima bulan dan kami mampu mempamerkan peningkatan tetapi untuk tempoh beberapa tahun mendatang, ia akan menjadi lebih baik.

“Kami mengenali antara satu sama lain dengan sangat baik tetapi masih ada lagi ruang untuk diperkemaskan. Saya fikir, kami mampu mencapainya dengan pantas dan melakukan sesuatu yang hebat untuk PSG.

“Kami mempunyai ramai bakat tetapi untuk menjuarai gelaran, kamu memerlukan sebuah pasukan tulen dan saya fikir, kami mampu melakukannya.”

Disiarkan pada: December 22, 2017 @ 9:54am
d