arena

Umum pemain import dalam masa terdekat

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Pemain kelahiran Sepanyol, Brazil, Croatia, Indonesia dan Filipina antara calon yang bakal mengisi tiga lagi kuota pemain import pasukan Kedah untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Identiti sebenar mereka terbabit dijangka diumumkan oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dalam tempoh terdekat ini.

Mengesahkan perkembangan itu, pengendali Kedah, Ramon Marcote berkata, beliau sedang melakukan penelitian senarai calon bagi memastikan skuad Helang Merah memilih pemain import yang disasarkan mengikut perancangan.

Sehubungan itu, dia merayu penyokong Kedah bersabar dalam menanti kehadiran tiga pemain import yang bakal melengkapkan barisan pemain musim depan itu.

“Saya memohon maaf kerana tak dapat mendedahkan calon pilihan yang terdapat dalam senarai pilihan ini. Namun saya yakin kita akan dapat melengkapkan proses pemilihan ini dengan secepat mungkin.

“Jika semuanya berjalan lancar, kita jangkakan dapat melihat skuad Kedah termasuk semua import bersama pasukan pada hujung bulan nanti,” katanya, di sini, semalam.

Kedah yang sudah mengekalkan dua pemain importnya di posisi tengah iaitu pemain Brazil, Sandro Da Silva dan pemain dari Kosovo, Liridon Krasniqi kini dalam proses mengisi tiga lagi calon untuk kategori antarabangsa, Asia dan ASEAN.

Sebelum ini, Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Datuk Aminuddin Omar menyatakan terdapat lapan nama diserahkan oleh Marcote untuk tujuan pengisian kuota import.

Marcote diberi ruang membuat pemilihan pemain import untuk musim hadapan seperti dimaklumkan oleh Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada 12 Disember lalu.

Disiarkan pada: December 22, 2017 @ 9:59am
d