arena

Keizer, Bergkamp dipecat Ajax

Oleh AFP

HAGUE: Kelab gergasi Belanda, Ajax memecat pengurus pasukan, Marcel Keizer dan pembantu jurulatih, Dennis Bergkamp dengan alasan hilang kepercayaan terhadap kemampuan mereka selepas beberapa siri prestasi yang mengecewakan.

“Ajax menggantung Marcel Keizer, penolong jurulatih Hennie Spijkerman dan Dennis Bergkamp. Pihak pengurusan akan bertemu mereka bagi membincangkan penamatan kontrak,” kata kelab berkenaan dalam satu kenyataan sebentar tadi.

“Pengurusan hilang kepercayaan terhadap kemampuan mereka dalam memenuhi impian Ajax berdasarkan beberapa siri prestasi yang mengecewakan sehingga membawa kepada keputusan ini.

“Kelab juga mempunyai pandangan berbeza dengan bekas legenda Arsenal dan Belanda, Bergkamp kerana “pelaksanaan dasar teknikalnya.”

Ajax melantik Keizer pada Jun lalu apabila Peter Bosz meninggalkan kelab itu untuk ke Borussia Dortmund selepas satu tahun bersama.

Kelab memecat Keizer hanya selepas 174 hari menyandang jawaran - tempoh paling pendek untuk jawatan jurulatih Ajax sejak Kurt Linder pada 1988 yang hanya memegang kerusi berkenaan selama 82 hari.

Kelab dari Amsterdam itu berasakan masa depan mereka sudah berakhir sejak beberapa bulan lalu, selepas gagal mara ke peringkat pusingan kelayakan sama ada di saingan Liga Juara-Juara atau Liga Europa.

Disiarkan pada: December 22, 2017 @ 11:00am
d