arena

Coman kekal di Munich hingga 2023

Oleh AFP

BERLIN: Penyerang Bayern Munich, Kingsley Coman mengikat kontrak lanjutan bersama Bayern Munich untuk terus kekal bersama juara Jerman itu sehingga 2023.

“Saya sangat gembira untuk terus beraksi bersama kelab ini untuk tempoh yang lama. Di Bayern dan Munich, saya rasa seperti berada di rumah sendiri,” katanya selepas menandatangani kontrak baharu.

Coman yang juga produk akademi Paris Saint-Germain (PSG) berhijrah dari Juventus ke Bayern pada 2015 secara pinjaman dengan perjanjian dua tahun.

Pemain antarabangsa Perancis itu pamer aksi cemerlang dan April lalu, pengurusan Bayern ambil keputusan untuk terus mengikat Coman, ketika kontrak lamanya akan berakhir Jun 2020.

“Musim ini, Kingsley menunjukkan peningkatan yang hebat dan berada di kedudukan terbaik untuk tampil sebagai pemain senior dalam skuad Bayern dan Perancis,” kata Pengarah Sukan Bayern, Hasan Salihamidzic.

“Kami gembira untuk mengikat Kingsley untuk tempoh yang lama dan kami yakin dia akan jadi pemain penting buat kelab ini.”

Dalam 84 penampilan, Coman berjaya menjaringkan 12 gol dan keyakinannya semakin meningkat di bawah jurulatih baharu, Jupp Heynckes.

“Dalam beberapa tahun lagi, karier Franck Ribery akan berakhir dan Kingsley akan jadi penggantinya,” kata Heynckes.

Disiarkan pada: December 22, 2017 @ 11:34am
d