arena

Usah bezakan Dimas, Ilham

Oleh Naqib Nor Said

PENYOKONG Selangor diingatkan tidak terlalu memberi tekanan kepada dua bintang baharu dari Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn supaya mengulangi zaman kegemilangan Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy bersama The Red Giants.

Ketua jurulatih Selangor, P Maniam meluahkan perkara itu kerana bimbang tekanan yang diberikan kepada dua pemain muda itu boleh menjejaskan prestasi mereka yang dijadualkan melaporkan diri, Selasa ini.

“Sudah tentu jika kita melihat Bambang dan Ellie, kedua-duanya pemain berpengalaman serta bagus.

“Kita tidak boleh bandingkan mereka dengan Dimas dan Ilham. Ini kerana kedua-dua import baharu ini masih muda dan dalam perjalanan ke arah menjadi pemain tersohor.

“Apa yang penting, kita perlu bagi masa untuk mereka terus mengembangkan bakat dan menyesuaikan diri dengan bola sepak di Malaysia,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan Selangor di Padang SUK, di sini hari ini.

Selangor mempunyai sejarah yang panjang dengan pemain Indonesia kerana sebelum kehadiran Andik Vermansyah dua musim lalu, Red Giants pernah diperkuatkan dengan kehadiran dua legenda dari republik itu - Bambang dan Elie.

Sebenarnya juara 33 kali Piala Malaysia itu juga pernah mendapatkan sentuhan pemain Indonesia lain seperti Ristomoyo Kasim pada tahun 1980-an, namun kedatangan Bambang dan Elie paling meninggalkan kesan.

Sepanjang dua musim Elie dan Bambang memperkuatkan Red Giants, perbagai kejayaan dikecapi antaranya menyapu gelaran treble pada kempen 2005/06 - Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia.

Bambang turut diangkat sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana 2005 dan meledak 63 gol dalam semua pertandingan pada musim itu sehingga menjadikan tarikan utama untuk rakyat Indonesia yang bekerja di sini membanjiri Stadium Shah Alam.

Justeru, tidak mustahil andai venue baharu Selangor - Stadium Nasional Bukit Jalil - akan dibanjiri rakyat Indonesia ketika kehadiran kedua-dua bekas pemain Bhayangkara FC itu bukan setakat mengembalikan kegemilangan pasukan tetapi boleh dianggap sebagai langkah pemasaran.

“Saya yakin Ilham dan Dimas juga bakal menjadi aset baharu Selangor sebab kedua-duanya mempunyai kemampuan teknikal yang tinggi dengan Ilham gaya permainannya selincah Andik.

“Sebab itu kita bawa kedua-dua pemain ini dan pada masa sama kita harap rakyat Indonesia di Malaysia juga akan datang memberi sorakan kepada pasukan,” kata Maniam.

Disiarkan pada: December 23, 2017 @ 12:02am
d