arena

'Latihan berat untuk lahirkan juara'

Oleh Fadhli Ishak

KETUA jurulatih skuad terjun negara, Yang Zhuliang menyifatkan tidak adil apabila dirinya dipersalahkan berhubung isu yang melanda dalam sukan itu baru-baru ini.

Sebagai reaksi kepada kenyataan yang dikeluarkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini, Zhuliang berkata dia terkejut dengan dakwaan yang dilemparkan kepada dirinya itu.

Khairy dalam kenyataannya, berkata kontrak Zhuliang yang bakal tamat hujung bulan ini tidak disambung kerana wujud satu budaya dan persekitaran ketakutan di kalangan penerjun yang menjurus kepada insiden rogol yang berlaku Oktober lalu.

“Saya terkejut dengan kenyataan dibuat menteri, bagaimana saya boleh mengawal semua perkara? Pada suatu masa, latihan mungkin berat untuk segelintir penerjun namun niat saya untuk menjadikan mereka juara.

“Ada berlaku sedikit salah faham ketika saya menjadi jurulatih tetapi ia tidak serius. Saya terkejut dengan insiden rogol yang berlaku, saya tidak tahu apa-apa mengenainya,” kata Zhuliang.

Zhuliang yang menjadi jurulatih paling berjaya dalam sejarah sukan terjun Malaysia, berkata dia menerima hakikat betapa khidmatnya tidak lagi diperlukan.

“Jika saya tidak lagi diperlukan di sini, tiada apa yang boleh saya lakukan. Saya sudah menjadi jurulatih selama 30 tahun, saya penat dan mahu pulang ke China bagi menjaga kedua ibu bapa saya.

“Isteri saya juga gembira. Kini, saya boleh meluangkan banyak masa dengan keluarga,” katanya.

Institut Sukan Negara (ISN) membawa masuk seorang jurulatih dari Australia bagi menggantikan Zhuliang. Jurulatih berkenaan akan memulakan tugas bulan depan.

Disiarkan pada: December 23, 2017 @ 12:10am
d