arena

Fatih kembali teraju Galatasaray

Oleh AFP

ISTANBUL: Ikon bola sepak Turki, Fatih Terim kembali membimbing kelab terbesar Galatasaray bagi menggantikan jurulatih Croatia, Igor Tudor yang dipecat Isnin lalu.

“Sebaik kami kehilangan...Dia kembali #FatihTerim,” kenyataan Galatasaray menerusi akaun Twitter rasmi kelab sebentar tadi.

Fatih Terim, 64, yang terkenal dengan julukan ‘maharaja’ menyertai kelab itu buat kali keempat yang dibimbingnya pada musim (1996-2000, 2002-2004 dan 2011-2013).

Galatasaray mengikatnya dengan kontrak satu tahun setengah dengan gaji 3 juta euro (RM14.4 juta).

Terim juga layak menerima 500,000 euro (RM2.4 juta) bonus bagi setiap musim jika berjaya membawa pulang trofi kejuaraan liga kebangsaan.

Galatasaray memecat Tudor, yang menyertai kelab itu pada Februari lalu selepas satu kekalahan yang menyaksikan kelab gergasi itu tercicir satu anak tangga Liga Super Turki.

“Saya kembali ke Galatasaray kerana saya percaya bertanggungjawab ke atasnya, saya berada di sini untuk melakar kejayaan yang lebih berbanding yang kami telah lakukan sebelum ini, ” kata Terim dalam sidang medianya di sini, hari ini.

Galatasaray, yang sudah memenangi 20 Liga Turki dan Piala UEFA pada 2000, sedang memburu kejuaraan bersama kelab seteru Besiktas.

Tudor berada dalam tekanan sejak tiba di Istanbul dan kekalahan 2-1 di tangan kelab kerdil, Yeni Malatyaspor hujung minggu lalu menjadi titik noktah kerjayanya bersama Galatasaray.

Disiarkan pada: December 23, 2017 @ 1:05am
d