arena

Wenger puji aksi anak buah

Oleh AFP

LONDON: Arsene Wenger memuji barisan anak buahnya selepas meraih keputusan 3-3 dengan Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates, sebentar tadi.

The Gunners bangkit di babak kedua selepas ketinggalan kepada lawannya itu yang mempamerkan corak permainan serangan pada perlawanan amat mendebarkan buat penyokong bola sepak di seluruh dunia itu.

Philippe Coutinho dan Mohamed Salah pada awalnya meletakkan Liverpool di hadapan, namun tiga gol dalam tempoh lima minit di babak kedua menerusi Alexis Sanchez, Granit Xhaka dan Mesut Ozil, dianggap sesuatu yang luar biasa.

Roberto Firmino berjaya meledak gol penyamaan bagi menjamin satu mata berharga buat Liverpool.

Perlawanan di Stadium Emirates itu juga secara tidak langsung memberi bayangan kepada kerapuhan pertahanan kedua-dua pasukan, namun Wenger menegaskan yang dia gembira kerana menjadi sebahagian daripada perlawanan yang tidak dapat dilupakan itu.

“Ia satu perlawanan yang mendebarkan. Saya kecewa kerana tidak dapat meraih kemenangan tetapi itu adalah jenis permainan yang kamu mahukan dalam Liga Perdana Inggeris,” kata Wenger.

“Lebih-lebih lagi kepada yang meminati bola sepak, pujian harus diberikan kepada tindakan kreatif. Sekiranya tidak ada percubaan jaringan, pertahanan akan tampak baik tetapi ia bukanlah sesuatu yang peminat mahu lihat.”

Wenger dalam pada itu mengakui yang Arsenal jelas hambar pada babak pertama namun dia kagum dengan corak kebangkitan dipamerkan pada baki separuh masa selepas itu.

“Kami bermain dengan kebimbangan dan tidak berada di tahap sebenar pada babak pertama. Mungkin apabila kamu mahu bersedia untuk satu perlawanan, kamu inginkan pemain bersedia tetapi kamu membuatkan lawan terlalu dihormati,” kata Wenger.

“Pada babak kedua, kami bermain di tahap sebenarnya. Secara keseluruhannya, perkara positif yang dilakukan ialah kami tidak menyerah kalah.

“Semangat jelas luar biasa. Disebabkan itu, saya berbangga dengan pemain. Ia menunjukkan mentaliti yang kuat. Kami mempunyai kebolehan untuk melakukan tindak balas.

“Apa yang dimahukan daripada pasukan ialah kesedaran di mana kami harus memulakan permainan daripada minit pertama lagi.”

Disiarkan pada: December 23, 2017 @ 1:17pm
d