arena

'Saya pun pejuang'

Oleh Ferzalfie Fauzi

KETIKA Rashid Sidek berpendapat tiada seorang pun pemain perseorangan lelaki memiliki watak pejuang seperti Datuk Lee Chong Wei, Soong Joo Ven seakan tidak bersetuju dengan pandangan bekas jurulatih negara itu.

Walaupun tidak menyatakan dengan jelas tetapi pemain Kuala Lumpur itu memberi bayangan betapa dia juga memiliki watak pejuang seperti yang dimahukan Chong Wei dalam barisan yang akan beraksi di Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah Februari depan yang juga pusingan kelayakan Piala Thomas 2018.

Malah, dia meminta rekod dan aksinya ketika beraksi mewakili negara dalam acara berpasukan di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dijadikan rujukan.

“Saya tidak berani cakap (mengenai pemilihan pemain) tapi jika anda lihat kali terakhir saya bermain di KL2017, saya rasa semua orang tahu (prestasi saya ketika itu),” katanya ketika Sesi Bertemu Peminat Kelab Badminton (KB) Kepong di Sports Arena Sentosa semalam.

Pada KL2017 Ogos lalu, Joo Ven tidak berdepan masalah membawa skuad negara mara ke separuh akhir selepas menyumbang mata kemenangan dengan menumpaskan Xaysomphone Vongpachith 21-10, 21-9 sekali gus menewaskan Laos 3-0.

Dalam aksi menentang Singapura di separuh akhir, pemain berusia 22 tahun itu yang beraksi selaku perseorangan kedua turut menyumbang mata kemenangan dengan mengalahkan pemain kelahiran Pulau Pinang, Loh Kean Yew 9-21, 21-17, 21-18 untuk membantu Malaysia mara ke perlawanan akhir menentang Indonesia.

Bagaimanapun, Malaysia hanya berpuas hati dengan pingat perak apabila tumpas 0-3 kepada Indonesia pada aksi final apabila Iskandar Zulkarnain kalah kepada Jonatan Christie, manakala Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tunduk di tangan Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto dalam beregu pertama dan Zii Jia pula akur dengan kehebatan Ihsan Maulana Mustofa.

Ditanya adakah dia yakin akan berada dalam skuad berkenaan di belakang Chong Wei, Iskandar Zulkarnain dan Lee Zii Jia, pemain itu bagaimanapun menyerahkan kepada jurulatih membuat keputusan.

“Jika terpilih ini adalah penampilan kedua saya di peringkat kelayakan selepas tahun lalu membantu Malaysia mara sehingga ke suku akhir sebelum tumpas kepada tuan rumah, India 2-3,” katanya.

Ketika itu Joo Ven membantu Malaysia mencatat kemenangan 5-0 ke atas Nepal, namun pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan bertemu Jepun dia tewas di tangan Kenta Nishimoto 18-21, 19-21.

Dia tidak beraksi ketika Malaysia tumpas 2-3 kepada India di suku akhir namun skuad negara layak ke Piala Thomas 2016 selaku pasukan keempat terbaik Asia di belakang India, Indonesia dan Korea Selatan, manakala Jepun pula mara selaku juara bertahan dan China sebagai tuan rumah.

Semalam, Rashid berkata skuad negara perlu menerima hakikat betapa hanya Chong Wei yang mempunyai watak pejuang berbanding pemain lain sama ada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atau yang bergerak secara profesional.

Ia susulan kenyataan Chong Wei yang menegaskan faktor utama yang perlu diambil kira dalam memilih barisan pemain perseorangan lelaki bagi menghadapi kejohanan di Alor Setar itu adalah mereka yang memiliki perwatakan seorang pejuang.

Pemain nombor dua dunia itu, berkata tiada guna menyenaraikan pemain yang hanya sekadar mahu menempatkan diri dalam pasukan tetapi apabila diturunkan gagal memberikan tentangan sengit kepada pihak lawan.

Disiarkan pada: December 23, 2017 @ 5:24pm
d