arena

Nafi tukar nama Stadium Shah Alam

Oleh Syafiq Aznan

KERAJAAN negeri Selangor menafikan dakwaan Stadium Shah Alam akan ditukar nama kepada Arena PKNS FC.

“Tidak benar,” kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan negeri, Amirudin Shari secara ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, poster yang memaparkan gambar Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memaklumkan mengenai pertukaran nama Stadium Shah Alam kepada Arena PKNS FC menjadi tular di laman media sosial.

Poster terbabit menyatakan ‘pencapaian lebih baik PKNS FC sebagai pasukan bola sepak yang mewakili rakyat Selangor di Liga Super tahun lalu, dengan ini telah mengambil keputusan untuk menukar nama Stadium Shah Alam kepada PKNS FC’.

Selain itu, poster terbabit turut berlatar belakangkan gambar pemain PKNS FC yang memakai jersi berwarna oren dengan logo PKNS FC menghiasi stadium yang mempunyai kapasiti 80,000 tempat duduk itu.

Sebagai rekod, konflik antara kerajaan negeri dan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menyaksikan gelanggang keramat The Red Giants menjadi gelanggang rasmi PKNS FC dengan Selangor terpaksa beraksi di Stadium Selayang mulai musim lalu.

Malah, FAS sudah mengemukakan tiga permohonan untuk menggunakan stadium itu tetapi kerajaan negeri tidak memberi jawapan dan Presiden FAS, Datuk Seri Subahan Kamal mengesahkan Stadium Nasional akan menjadi gelanggang rasmi Selangor musim depan.

Disiarkan pada: December 23, 2017 @ 7:25pm
d