arena

Syamim serius mahu sarung jersi Malaysian Tigers

Oleh Naqib Nor Said

Kuala Lumpur: Kesungguhan Mohd Syamim Yusof menurunkan berat badan lapan kilogram dalam tempoh empat bulan terakhir membuktikan penyerang Kuala Lumpur Hockey Club (KLHC) itu benar-benar serius untuk kembali menyarung jersi skuad hoki kebangsaan.

Penyerang berusia 25 tahun itu pernah dianggap sebagai pemain generasi emas negara selepas membantu skuad remaja meraih tempat keempat Piala Dunia Remaja 2013 sebelum diserap secara tetap ke dalam pasukan senior kebangsaan setahun kemudian.

Tetapi ia tidak bertahan lama dan sejak itu dia gagal merebut semula tempat kerana kegagalan mencapai prestasi lama yang dianggap berpunca daripada berat badan berlebihan akibat daripada kurangnya latihan dan aksi kompetitif.

Nekad kembali menghidupkan masa depannya, Syamim yang pernah membuat penampilan bersama skuad senior pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2012 berkelana ke Itali dan Oman sejak September lalu bagi mencari sentuhan lama.

“Memang saya menyimpan hasrat untuk kembali mewakili negara, namun ia bergantung terhadap prestasi sepanjang beraksi buat KLHC dalam saingan Liga Premier 2018 yang bermula 3 Januari depan,” katanya.

Disiarkan pada: December 24, 2017 @ 5:33am
d