arena

Penganjur resah isu doping Froome belum selesai

Oleh Agensi

Paris: Pengarah Tour de France, Christian Prudhomme mahu pihak terbabit untuk bertindak segera terhadap siasatan doping ke atas juara empat kali perlumbaan paling berprestij itu, Chris Froome.

Froome sudah diminta memberi penjelasan kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) berhubung sampel air kencing miliknya ketika beraksi di Vuelta a Espana, September lalu yang dikesan mempunyai ubat lelah salbutamol dua kali ganda berbanding dos dibenarkan.

Prudhomme berkata: “Kami mahu perkara ini diselesaikan dengan segera untuk keluar daripada sebarang ketidakpastian.

“Kami mahu siasatan dijalankan dengan sebaik-baiknya dan tidak mahu ia tertangguh berbulan lamanya bagi membolehkan kami memberi jawapan kepada UCI dengan secepat mungkin pada musim depan,” katanya.

Jika didapati bersalah, kemenangan atlet berusia 32 tahun itu di Vuelta akan ditarik dan digantung untuk satu tempoh masa yang lama.

Prudhomme berkata, dia tidak mahu Froome mengambil bahagian di Tour de France ketika sedang disoal siasat.

Pada 2011, Alberto Contador beraksi di Giro d’Italia dan memenangi perlumbaan itu ketika dalam siasatan selepas positif clenbuterol.

Kemenangannya itu kemudian ditarik semula dan mahkota kejuaraan diberikan kepada Michele Scraponi.

Disiarkan pada: December 25, 2017 @ 1:25am
d