arena

Tiada 'nombor satu'

Oleh Agensi

London: Penasihat pasukan Red Bull, Helmut Marko menegaskan tiada pemandu yang diangkat sebagai ‘nombor satu’ di dalam pasukan, sebaliknya Max Verstappen dan Daniel Ricciardo masing-masing menerima layanan sama rata.

Verstappen mengikat kontrak baru bersama Red Bull, Oktober lalu dengan pasukan dilaporkan berkata mereka mahu menambahkan lagi keupayaan pemandu Belanda itu.

Komen itu menimbulkan persoalan mengenai masa depan Ricciardo bersama Red Bull - dengan kontraknya bakal tamat hujung musim depan - namun Marko pantas menegaskan pasukan sama sekali tidak melebihkan mana-mana pemandu.

“Saya tidak memihak (Verstappen) tetapi dalam kelayakan dia adalah yang paling pantas,” kata Marko.

“Dengan tujuh DNF (tidak menamatkan perlumbaan), ia bukan sesuatu yang menggembirakan dan kadangkala moral dirinya turun, tetapi ia adalah satu proses pembelajaran buatnya dan dia mampu mengatasinya. Dua kemenangan diraihnya menjadi bukti.

“Kami tidak mempunyai (pemandu) nombor satu. Kedua-dua pemandu dilayan sama rata dan terpulang kepada mereka bagi menilainya. Saya sentiasa menggemari yang paling pantas!.”

Mengimbas kembali musim Red Bull, Marko berkata dia percaya pasukan mampu menewaskan Ferrari untuk tempat kedua dalam kedua-dua kejuaraan - kategori pengeluar dan pemandu - sekiranya tidak banyak mengalami masalah kebolehupayaan.

“Ricciardo sedikit bergelut pada separuh musim pertama tetapi dia kemudiannya dapat menyesuaikan diri dan berada dalam kelajuan sama dan kadangkala lebih pantas berbanding Max,” kata Marko.

“Kesimpulan saya, kedua-dua pelumba mempamerkan peningkatan daripada musim lalu. Mereka bersaing antara sendiri untuk meningkat dan harap tahun depan dapat mencapai tahap tertinggi mereka.

“Yang lain atau kita katakan tuah, kami melakukan lebih 10 DNF. Cuba bayangkan!. Rekod luar biasa ini secara tidak langsung menjadi bukti.

“Tanpa masalah itu, kami mungkin boleh berganjak ke kedudukan lebih baik dalam kedua-dua kategori kejuaraan. P2 (penamat kedua) mungkin menjadi milik kami.”

Disiarkan pada: December 25, 2017 @ 1:28am
d