arena

Kelantan uji TFC II

Oleh Hasbullah Ibrahim

KELANTAN bakal menguji kemampuan dalam aksi pra musim menentang Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam esok sebagai persiapan bagi menghadapi saingan Liga Super 2018.

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, perlawanan ujian kedua dengan pasukan dari Liga Perdana musim depan itu juga akan membolehkan jurulatih, Santhit Bensoh menilai prestasi pemain menjelang aksi ketiga berdepan kelab dari Thailand, Januari ini.

Perlawanan ujian pertama membabitkan pasukan dari Liga FAM, UBES MPKB BRI yang berlangsung di padang Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sebelum ini berakhir dengan kemenangan 4-0.

“Perlawanan itu adalah dalam rangka persiapan pra musim sebelum menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang bakal bermula musim depan.

“Setakat ini pasukan sudah menjalani latihan dan sebahagian rancangan awal KAFA bagi memperkuatkan pasukan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Bibi berkata, skuad The Red Warriors (TRW) itu bakal membawa kesemua pemain termasuk pemain import dalam perlawanan itu.

“Kita bakal menurunkan semua pemain termasuk pemain muda serta import bagi membentuk skuad sebenar sebelum menempuhi saingan liga musim depan.

“Peminat berpeluang menyaksikan penampilan pertama dua awang import iaitu bekas pemain import UiTM FC kelahiran Korea Selatan, Do Dong Hyun, Cassio Francisco De Jesus dari Brazil walapun tanpa kelibat import dari Senegal, Margaro Lima Gomis yang bercuti sempena perayaan Krismas.

“Walaupun perlawanan pra musim hanya berdepan cabaran membabitkan pasukan dari liga tempatan, diharap dapat menguji pemain kita selain menentukan barisan pemain yang mampu bergandingan bersama antara mereka dalam pasukan nanti,” katanya.

Disiarkan pada: December 26, 2017 @ 11:55am
d