arena

Advocaat sinar baru Sparta

Oleh Reuters

Amsterdam: Dick Advocaat kembali melatih Sparta Rotterdam dalam misi untuk menyelamatkan kelab asalnya itu yang kini bergelut di zon penyingkiran liga utama Belanda.

Advocaat yang meletakkan jawatan selaku jurulatih Belanda bulan lalu, menandatangani kontrak semalam untuk mengendalikan Sparta sehingga tamat musim ini.

Ia pasti tugas cukup mencabar buat pengendali berpengalaman itu berikutan Sparta kini berkongsi kedudukan tercorot dalam kedudukan liga.

Advocaat,70, bermain dengan Sparta selama dua musim pada awal 1980an dan membuat penampilan semula atas desakan penyokong selepas pasukan itu merekod lima kekalahan berturut-turut.

Alex Pastoor dipecat selepas kekalahan memalukan 0-7 kepada musuh setempat yang juga juara bertahan Feyenoord pada 17 Disember lalu.

Advocaat meletakkan jawatan sebagai jurulatih Belanda pada November selepas pasukannya gagal melayakkan diri ke Piala Dunia di Russia tahun depan.

Advocaat juga pernah mengendalikan pasukan kebangsaan Russia, Belgium, Serbia, Emiriah Arab Bersatu dan Korea Selatan serta kelab Eropah termasuk Rangers, Sunderland, PSV Eindhoven dan Fenerbahce.

Disiarkan pada: December 27, 2017 @ 9:33am
d