arena

Conte optimis kejar City

Oleh AFP

LONDON: Antonio Conte tetap percaya Chelsea masih berpeluang mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi musim lalu, meskipun pendahulu ketika ini Manchester City dilihat jauh berada di depan.

Keyakinan pengendali The Blues itu bersandarkan kepada kejayaan skuad kendaliannya mengejar pasukan di tangga kedua iaitu Manchester United yang hanya dibezakan dengan satu mata di kedudukan ketiga ketika ini.

Katanya, kemenangan 2-0 ke atas Brighton akan dijadikan suntikan motivasi buat pemainnya berjuang hingga ke ‘garisan penamat’ sekali gus mengekalkan trofi itu.

“Saya fikir semua pasukan memiliki motivasi tersendiri untuk bangkit mencapai kejayaan. Tidak ada yang mudah untuk bergelar juara dan kami akan terus berjuang hingga ke penghujung,” katanya.

“Saya tidak tahu jika mereka (City) akan menjuarai liga. Apa yang saya lihat, mereka cuba memenangi semua perlawanan dan hanya mencatat satu keputusan seri yang menandakan persaingan merebut gelaran makin sengit.

“Permulaan kami agak perlahan di awal musim, tetapi itu tidak melemahkan semangat pasukan sebaliknya kami semakin baik dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” kata jurulatih yang berasal dari Itali itu.

Dalam aksi di Stamford Bridge itu, jaringan babak kedua Alvaro Morata dan rakan senegara dari Sepanyol, Marcos Alonso memberikan tiga mata buat Chelsea sekali gus memberi tekanan kepada United yang sekadar seri 2-2 dengan Burnley.

Morata yang kembali daripada penggantungan, menanduk masuk hantaran Cesar Azpilicueta pada minit ke-46 dan Azpilicueta turut menggunakan kepalanya untuk gol kedua 11 minit kemudian.

“Morata kembali menjaringkan gol buat kami selepas tidak bermain ketika menentang Everton. Dia penyerang harapan kami untuk musim ini.

“Malah, aksi Alonso juga menjadi hari ini (malam tadi) dan dia antara pemain sayap yang paling konsisten apabila menyumbang lima gol setakat ini.

“Mereka akan terus meledak gol dan tidak akan berhenti kerana pasukan amat memerlukan kemenangan untuk mencapai misi hingga penghujung saingan,” katanya.

Disiarkan pada: December 27, 2017 @ 11:18am
d