arena

'Wang besar, wang besar!'

Oleh Reuters

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho menegaskan kelab itu harus berbelanja lebih besar sekiranya mahu bersaing merebut gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti dilakukan pencabar kejuaraan dan jiran, Manchester City.

Selepas terpaksa bangkit menerusi dua jaringan Jesse Lingard pada babak kedua untuk mengikat Burnley 2-2, pengendali kelahiran Portugal itu mengakui sukar buat anak buahnya mencabar kejuaraan liga musim ini.

Sejak Mourinho tiba di Old Trafford musim lalu, beliau sudah membelanjakan hampir 300 juta pounds (RM1.6 billion) untuk membeli beberapa pemain bagi menguatkan pasukan itu.

“Itu tidak cukup, tidak cukup. Untuk membentuk sebuah pasukan yang kuat, kami perlukan dana lebih dan ia tidak cukup. Biasanya kelab-kelab besar akan berbelanja hebat untuk mencipta sejarah,” kata pengendali dari Portugal itu.

“Pemain sudah melakukan yang terbaik. Ketika ini kami ketinggalan dengan jurang mata yang agak jauh dengan pendahulu liga (City) dan kami perlu segera mengatasi masalah itu.

“Seperti saya katakan, pemain sudah cuba yang terbaik. Dengan kecederaan yang menimpa beberapa pemain serta keputusan perlawanan, jelas sekali saya tidak gembira,” kata The Special One itu.

Sebagai rekod, skuad itu sebelum ini berbelanja mewah ketika mendapatkan khidmat pemain tengah Perancis, Paul Pogba dan penyerang dari Belgium, Romelu Lukaku dengan masing-masing 89 juta pounds (RM486 juta) dan 75 juta pounds (RM409 juta).

“Apabila anda menyebut nama Manchester United, adakah anda rasa kelab seperti AC Milan lebih besar daripada kami? Bagaimana pula dengan Real Madrid dan Inter Milan. Adakah mereka juga kelab yang lebih besar daripada kami?

“Di sini terdapat banyak kelab besar. Saya tahu membezakan antara kelab besar dan pasukan bola sepak yang hebat. Kami ketika ini dalam musim kedua untuk membina semula legasi kelab seperti di zaman kegemilangan,” katanya.

Disiarkan pada: December 27, 2017 @ 11:56am
d