arena

Makin berusia makin berbisa

Oleh Asrol Awang

USIA tidak menghalang penjaga gol berpengalaman, Remezey Che Ros untuk tampil dengan aksi tangkas bagi membantu Pahang meraih kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2018.

Pemain berkenaan yang akan mencecah usia 36 tahun musim depan percaya segala-galanya masih lagi positif dalam meneruskan prestasi meyakinkan.

Katanya, sebagai pemain yang sudah beraksi bersama pasukan sejak 2004, ia mematangkan dirinya untuk kekal cergas terutama dari segi mental dan fizikal.

“Saya percaya dengan kemampuan diri. Sebagai pemain yang berada di posisi terakhir selaku penjaga gol, saya akan melakukan yang terbaik buat skuad Tok Gajah.

“Usia yang akan mencecah 36 tahun tidak menjadikan alasan, sebaliknya berazam mempamerkan prestasi meyakinkan,” katanya yang kembali bersama Pahang.

Remezey berkata, fokus utama yang dilakukan adalah meningkatkan prestasi pada sesi latihan selepas mendapat kepercayaan daripada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

Katanya, kepercayaan yang diberi terutama daripada jurulatih, Dollah Salleh yang cuba dipersembahkan sebaik saingan Liga Super bermula nanti.

“Saya harap dapat mengisi posisi penjaga gol utama tetapi sedar perlu bersaing dengan dua lagi rakan sepasukan untuk memenuhi misi itu,” katanya.

Berdasarkan pengalaman, Remezey pernah menyarung jersi skuad Tok Gajah dari 2005 hingga 2009 selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), Shahzan Muda, PKNS FC, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Musim ini, pemain berumur 35 tahun itu menyarung jersi Kuala Lumpur dan membantu The Hawks layak ke Liga Super musim 2018.

Selain Remezey, Pahang turut memiliki dua lagi penjaga gol iaitu Helmi Eliza Elias dan Mohd Wafieyuddin Mohd Shamsudin.

Disiarkan pada: December 27, 2017 @ 12:58pm
d