arena

'Ayuh semangat sikit sokong Selangor dong'

Oleh Syafiq Aznan

“ANDA harus setia untuk menyokong Selangor sepenuh jiwa raga,” ujar bekas pemain import Red Giants, Elie Aiboy.

Pesanan itu dilontarkan oleh Elie kepada dua bintang muda Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn yang akan menyertai skuad Merah Kuning pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan sekali gus mengikut jejak beberapa pemain negara republik itu seperti Ristomoyo Kassim, Bambang Pamungkas serta Andik Vermansyah.

Malah, bekas pemain Persija Jakarta itu turut percaya kehadiran Evan dan Ilham dapat menggamatkan kembali stadium dengan keriuhan penyokong sama seperti ketika dia dan Bambang menyarung jersi Selangor pada musim 2005 hingga 2007.

“Dulu Selangor ada saya dan Bepe (Bambang) dan ketika itu stadium sememangnya gemuruh dengan kehadiran penyokong. Kemungkinan Selangor cuba mencipta formula sama dengan membawa masuk Evan serta Dimas.

“Apa pun, saya mengharapkan dua pemain itu sentiasa ikhlas menyokong Selangor dan tidak boleh sekadar memberikan separuh hati jika mahu beraksi bersama pasukan itu.

“Mereka perlu memberikan sepenuhnya kepada Selangor dan sentiasa ramah bersama penyokong. Jika mereka dapat melakukan dua perkara ini, sudah pasti mereka mampu pergi lebih jauh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada masa sama, Elie turut ‘mencabar’ dua rekrut baharu Selangor itu supaya dapat meraih lebih banyak kejayaan bersama pasukan itu sekali gus menjadi pemain import Indonesia yang lebih berjaya mengatasi dirinya dan Bambang.

“Mereka masih muda dan saya lihat mereka memiliki kualiti yang begitu baik. Saya lebih gembira andai mereka lebih cemerlang bersama Selangor dan jika saya boleh menang lima trofi bersama Selangor, sudah tentu mereka boleh meraih lebih lagi,” katanya.

Antara trofi yang pernah dirangkul Elie bersama Selangor adalah juara Liga Perdana 2005, Piala FA 2005 serta Piala Malaysia 2005 selain turut dinobat Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Piala FA 2005.

Disiarkan pada: December 27, 2017 @ 5:26pm
d