arena

Aksi amal bantu keluarga Yusof

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Satu perlawanan amal bagi membantu keluarga bekas kapten Melaka, Allahyarham Yusof Kamaruddin akan diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor, malam esok. Pengarah program berkenaan, Nizam Hashim berkata, perlawanan dijadualkan jam 8.30 malam itu menemukan pasukan Veteran Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) dengan Pundit LCFC.

“Antara bekas pemain kebangsaan dan negeri yang bakal beraksi untuk Veteran PBMM ialah Talib Sulaiman, Feriza dan Farouk Ismail, Kamal Idris Ali, Omar Salim dan Mohd Firdaus Mohamed,” katanya.

Jelasnya, Pundit LCFC pula bakal membariskan bekas pemain yang juga pengulas sukan TV seperti Hasnizam Uzir, Asmawi Bakiri, Nazzab Hizan, Nizam Jamil dan Zainal Abidin Rawop serta ramai lagi.

“Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dijangka akan hadir menyampaikan sumbangan bagi pihak Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA),” kata Nizam.

Yusof yang meninggal dunia di Serdang pada 19 Disember lalu selepas terjatuh ketika bermain futsal, pernah beraksi dalam Liga Semi-Pro selain Liga Dunhill Selangor dengan Kelab Sultan Sulaiman (KSS.

Orang ramai dijemput hadir menyaksikan perlawanan itu sekali gus membantu menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga Allahyarham. Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 53 tahun, turut meninggalkan seorang balu dan lima anak.

Disiarkan pada: December 28, 2017 @ 9:53am
d