arena

Burga bebas tuduhan rasuah di mahkamah AS

Oleh AFP

New York: Bekas ‘orang nombor satu’ Persatuan Bolasepak Peru, Manuel Burga dibebaskan daripada sebarang tuduhan rasuah selepas mahkamah Amerika Syarikat (AS) mendapati beliau tidak terbabit dengan isu itu.

Dalam perbicaraan yang memasuki hari ketujuh di sini, beliau dituduh menerima suapan dalam menentukan hak penyiaran dan pemasaran berjumlah AS$200 juta (RM817 juta) ketika memimpin badan induk bola sepak itu.

Panel perbicaraan mendapati, beliau tidak menerima sebarang wang daripada mana-mana pihak dan melepaskan tokoh berusia 60 tahun itu daripada sebarang tuduhan.

“Banyak kerja yang menanti saya di Peru dan saya akan terus pulang. Saya tidak menyimpan apa-apa perasaan dendam kepada sesiapa pun,” katanya.

“Mulai sekarang, saya mahu membuka buku baru dan terus memandang ke hadapan.

“Tuhan sudah mendengar doa saya dan juri pula menemui kebenaran biarpun saya ditahan hampir dua tahun dan 22 hari,” katanya.

Sebelum ini, Burga ditahan oleh pihak berkuasa AS bersama bekas Presiden Konfederasi Bolasepak Brazil (CBF), Jose Maria Marin dan bekas pegawai kanan Persatuan Bolasepak Paraguay, Juan Angel Napout pada 2015.

Disiarkan pada: December 28, 2017 @ 10:10am
d