arena

Kecederaan paksa Kak Ya tukar acara

Oleh Mohd Khairie Khalid

Kuala Lumpur: Prestasi yang merosot gara-gara bergelut dengan kecederaan lutut dan hamstring memaksa Noor Shahidatun Nadia Mohd Zuki bertukar acara.

Noor Shahidatun atau lebih popular dengan gelaran Kak Ya dalam kalangan rakannya mengakui dia kini menjalani latihan untuk acara heptatlon selepas mendapat arahan daripada jurulatih Victor Sotnikov.

Heptatlon adalah pertandingan untuk peserta wanita terdiri daripada tujuh acara iaitu 110 meter lari berpagar, lontar peluru, lompat tinggi, 200m, 800m, lompat jauh dan merejam lembing.

Begitupun penuntut Universiti Putra Malaysia itu berkata, dia mungkin menyertai heptatlon dan beraksi di peringkat negeri tahun depan, namun jika membabitkan kejohanan besar, acara kegemaran iaitu lompat jauh tetap menjadi keutamaan.

Mengakui agak sukar apatah lagi hanya mempunyai pengalaman beraksi dalam acara lompat jauh berbanding enam disiplin lain, namun Noor Shahidatun akur kerana pertukaran itu mampu membantu meningkatkan tekniknya.

“Saya langsung tidak berpuas hati dengan prestasi saya sepanjang tahun ini, apatah lagi selepas mengalami kecederaan lutut kanan dan hamstring pada Kejohanan Olahraga Tertutup Malaysia di Perak, tahun ini. Kesakitan itu saya rasa sampai sekarang walaupun Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sudah tamat.

“Tahun depan, jurulatih saya arahkan untuk mencuba acara heptatlon... ia mungkin akan membantu meningkatkan jarak lompat jauh saya.

“Sekarang ini setiap pagi Jumaat saya belajar untuk acara lompat tinggi dan sudah dua minggu berlatih. Saya sebenarnya tidak minat dengan heptatlon, tapi saya akan ikut arahan jurulatih,” kata Noor Shahidatun ketika dihubungi, semalam.

Disiarkan pada: December 28, 2017 @ 10:40am
d