arena

Alhamdulillah Poad mula beri respons

Oleh Mohd Khairie Khalid

JURULATIH olahraga negara, Mohd Poad Md Kassim yang kini ditempatkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru mula menunjukkan perkembangan positif.

Poad sudah mula memberikan tindak balas namun beliau dimaklumkan masih berada dalam keadaan kritikal.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah ada perkembangan positif. Poad sudah boleh membuka mata dan memberikan respons apabila kami bercakap, tapi masih kritikal.

“Kami harap semua rakyat Malaysia teruskan berdoa dan sedekahkan ayat suci al-Quran. Semoga Allah memberikan kesembuhan segera kepada Poad, amin,” kata Muhamad Rat Md Kassim, abang jurulatih itu ketika menghubungi pemberita untuk memaklumkan perkembangan itu, hari ini.

Sebelum ini doktor terpaksa memberikan jurulatih itu ‘rehat’ dan berada dalam keadaan koma kerana bergelut dengan jangkitan kuman di paru-paru.

Beliau ketika ini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), HSA.

Poad, suami Khalijah Ahmad yang juga bapa kepada tujuh anak berusia 2 hingga 13 tahun difahamkan sudah bergelut dengan masalah kesihatan sejak awal bulan ini.

Sebagai rekod, Poad adalah guru dari Chabau, Jasin, Melaka yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

Antara kejayaannya adalah melahirkan pemenang pingat emas acara pecut 100 meter Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Khairul Hafiz Jantan.

Disiarkan pada: December 28, 2017 @ 2:55pm
d