arena

Kim Swee kenal pasti kelemahan B-23

Oleh Mohd Fitrie Muhamad

SELEPAS mengharungi tiga perlawanan persahabatan, pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee nyata belum berpuas hati dengan prestasi dipamerkan anak buahnya.

Pada aksi persahabatan terakhir di Korea Selatan hari ini, skuad muda negara seri 1-1 dengan Jeonju Citizens.

Safawi Rasid meledak gol penyamaan pada minit ke-75 untuk menafikan jaringan pembukaan Oh Tae Hwan seawal minit ke-15.

“Dengan mengharungi perlawanan berintensiti tinggi, kami berjaya mencapai objektif. Keseluruhannya kami masih perlu melakukan tambah baik pada perlawanan terakhir menentang Syria B-23 di Nanjing, China.

“Daripada perlawanan itu, kami akan dapat mengukur kekuatan dan kelemahan pasukan. Kami tidak boleh bandingkan prestasi pusingan kelayakan dan perlawanan persahabatan.

“Namun saya percaya pemain makin meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Paling penting pemain akan mencapai kemuncak prestasi pada pertandingan di China nanti,” kata Kim Swee.

Skuad negara akan mengharungi satu lagi aksi persahabatan terakhir menentang Syria B-23 di Nanjing sebelum membuka kempen Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 bertemu Iraq pada 10 Januari, Jordan (13 Januari) dan Arab Saudi (16 Januari).

Dalam dua aksi persahabatan sebelum ini, skuad B-23 negara seri 1-1 dengan Mokpo City FC dan menang 1-0 ke atas Universiti Honam.

“Keputusan ini tidak memberi sebarang impak mahupun tekanan tapi kualiti permainan amat penting.

“Selepas tiga perlawanan di Korea Selatan, kami berjaya mengenal pasti setiap kelemahan dan kini kami perlu memperbaikinya,” katanya.

Disiarkan pada: December 28, 2017 @ 8:17pm
d