arena

Tutup mulut pengkritik

Oleh AFP

London: Harry Kane mengakui kejayaan memecahkan rekod jaringan terbanyak setahun itu adalah kerana ingin menutup mulut pengkritik yang meragui kemampuannya untuk setanding Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

Hatrik penyerang itu ketika Tottenham Hotspur menewaskan Southampton 5-2 Selasa lalu menjadi detik terbaik buat bintang England itu.

Jaringan 39 gol dalam 36 perlawanan yang dilakukannya itu berjaya memecah rekod Alan Shearer bagi jaringan terbanyak Liga Perdana dalam setahun selepas Shearer mengumpul 36 gol dalam 42 perlawanan pada 1995.

Mungkin apa yang lebih memberangsangkan, Kane akan menamatkan kempen tahun ini dengan 56 gol untuk kelab dan negara, iaitu lebih dua gol daripada bintang Barcelona Messi dan tiga mengatasi Ronaldo dari Real Madrid.

Kane muncul pemain pertama untuk menghabiskan kalendar tahunan dengan enam hatrik Liga Perdana Inggeris (EPL).

Penyokong Tottenham menyambut kejayaan wira kelab itu dengan mencipta satu lagu khusus buat Kane selepas pemain itu menyerlah pada penampilan pertama kelab dengan 21 gol liga pada 2014-15.

Kane kemudian menghasilkan 25 dan 29 lagi gol dalam dua kempen seterusnya dan bagi saingan musim ini sudah mengumpul 18 gol.

“Adakah itu membuat saya bersemangat? Mungkin, ia selalu bermain di fikiran saya,” kata Kane.

“Saya selalu menyatakan bahawa apabila ada pihak meragui kemampuan saya, saya mahu membuktikan mereka salah sama ada ketika saya masih muda atau sekarang. Sudah menjadi pegangan saya seperti itu sejak muda lagi

“Saya akan terus berusaha untuk meningkat. Ia lagu melucukan yang dinyanyikan oleh penyokong dan saya akan terus melakukan untuk sembilan, 10 musim dan lihat di mana saya akan berada nanti.”

Kejayaan mengatasi rekod Messi dan Ronaldo sememangnya memberi kepuasan buat pemain berusia 24 tahun itu sekali gus bersedia menyahut cabaran untuk terus melakar sejarah seperti dua bintang berkenaan.

“Bila anda lihat Messi dan Ronaldo, masih terlalu jauh untuk saya dibandingkan dengan mereka tapi ini satu permulaan dan apa yang saya mahu lakukan adalah terus memperbaiki prestasi.”

Disiarkan pada: December 29, 2017 @ 9:54am
d