arena

Didakwa kerana serangan ringan

Oleh AFP

London: Pemain pertahanan Liverpool, Jon Flanagan didakwa atas kesalahan serangan ringan, kata satu kenyataan polis Britain, kelmarin.

Flanagan, 24, didakwa susulan satu insiden di pusat bandar Liverpool pada Jumaat lalu.

“Polis Merseyside boleh mengesahkan Jonathan Patrick Flanagan, berusia 24 tahun dari Cressington, Liverpool didakwa mengikut seksyen 39 serangan ringan susulan satu insiden di Duke Street di pusat bandar Liverpool kira-kira jam 3.20 pagi Jumaat lalu,” kata jurucakap polis berkenaan.

“Dia sudah dibebaskan dengan jaminan polis dan akan dipanggil semula oleh Mahkamah Majistret Bandar Liverpool pada 2 Januari 2018.”

Bakat Flanagan digilap di akademi Liverpool dan membuat penampilan skuad senior The Reds pada 2011, namun hanya beraksi sekali musim ini dalam Piala Liga.

Pemain pertahanan itu yang menghabiskan masa menjadi pemain pinjaman dengan Burnley musim lalu turut membuat satu penampilan dengan England pada aksi persahabatan sebelum Piala Dunia 2014.

“Pihak kelab dimaklumkan mengenai dakwaan insiden membabitkan pemain daripada skuad utama,” kata jurucakap Liverpool.

“Kami tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara ini memandangkan ia sedang dikendalikan oleh beberapa pihak berkuasa.”

Disiarkan pada: December 29, 2017 @ 10:29am
d