arena

Gol sensasi

Oleh AFP

Milan: Pemain muda AC Milan, Patrick Cutrone menjaringkan gol sensasi pada masa tambahan untuk menyingkirkan Inter Milan daripada kempen Piala Itali, semalam sekali gus gus menempah tempat bertemu Lazio di separuh akhir.

Pemain berusia 19 tahun itu mencuri tumpuan pada minit ke-109 di San Siro selepas perlawanan masa sebenar berakhir dengan keputusan 0-0 untuk membawa Milan ke aksi timbal balik separuh akhir menentang Lazio yang menewaskan Fiorentina 1-0, kelmarin.

Kejayaan itu memberi kelegaan kepada jurulatih baru Milan, Gennaro Gattuso yang menganggap pertembungan itu ibarat final Piala Dunia.

“Bila fikirkan semula, kelmarin saya berada di Primavera (bersama pasukan remaja Milan) dan sekarang bergembira di San Siro bersama penyokong yang hebat adalah sesuatu yang menakjubkan,” kata Cutrone yang dilayangkan kad kuning kerana menanggalkan jersi ketika meraikan jaringan selepas menyumbat gol.

“Saya fikir kemenangan ini bagus untuk moral kerana perlawanan dengan musuh setempat ini tidak boleh dianggap perlawanan biasa.

“Sekarang kami mahu menikmati kemenangan ini dan bermula esok (hari ini), kami akan memikirkan mengenai cabaran menentang Fiorentina.”

Milan turun beraksi dengan menduduki tangga ke-11 saingan Serie A, 21 mata di belakang pendahulu Napoli sekali gus menjadikan Piala Itali dan Liga Europa menjadi gelanggang untuk mereka merebut kejuaraan musim ini.

Bagaimanapun ia kekalahan ketiga berturut-turut buat Inter yang kini berada di tempat ketiga Serie A, lima mata ketinggalan dengan pendahulu.

Inter yang dikendalikan Luciano Spalletti mula hilang rentak selepas bermula cemerlang musim ini dan memerlukan kemenangan menerusi sepakan penalti untuk mengatasi pasukan divisyen tiga, Pordenone pada pusingan terakhir.

Inter lebih menguasai babak pertama meskipun pemain Milan, Giacomo Bonaventura mempunyai peluang untuk memecah kebuntuan pada minit ke-18 apabila tandukannya ditepis keluar Samir Handanovic.

Disiarkan pada: December 29, 2017 @ 10:46am
d