arena

NSA perlu terus kerja keras

Oleh Jumiati Rosly

Kuala Lumpur: Biarpun pencapaian sukan negara tahun ini baik, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar meminta persatuan sukan kebangsaan (NSA) terus melipat gandakan usaha dalam menghadapi tahun 2018 yang disifatkan lebih sibuk.

“Tahun ini adalah tahun yang sibuk. NSA perlu berterusan untuk bekerja keras bagi meningkatkan tahap prestasi sukan masing-masing.

“Justeru, adalah penting untuk NSA menekankan pembangunan akar umbi sukan masing-masing dan memberi peluang yang luas bagi atlet remaja mereka menyertai kejohanan, selain memperoleh pengalaman dan menerima latihan sebaik mungkin, kerana mereka adalah masa depan sukan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Sempena ketibaan tahun 2018, Tunku Imran berkata NSA juga perlu berusaha lebih gigih supaya tidak ketinggalan dalam era profesional bagi memastikan pengurusan mereka ditadbir dengan baik selain menjadikan kepentingan atlet sebagai keutamaan.

Katanya, 2018 akan menjadi tahun yang lebih sibuk bagi sukan tanah air dengan penyertaan ke Sukan Komanwel di Gold Coast pada April dan Sukan Asia di Indonesia pada Ogos.

Malah, negara juga, katanya, akan menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk di PyeongChang pada Februari di mana peluncur ais negara, Julian Yee mencipta sejarah buat Malaysia apabila melayakkan diri buat julung kalinya.

Tunku Imran berkata tahun 2017 adalah istimewa kerana menganjurkan Sukan SEA kali ke-29 dengan jayanya sekali gus kontinjen negara muncul juara keseluruhan dengan memenangi 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.

“Dengan kejayaan cemerlang negara ini, kita tidak boleh berehat atau berpuas hati. Kini adalah masanya untuk menggunakan landasan Sukan SEA bagi melonjakkan diri dan meletakkan sasaran lebih tinggi di peringkat Asia dan dunia,” katanya.

Mengenai pemilihan presiden dan anggota lembaga MOM yang akan diadakan tahun hadapan, Tunku Imran mengharapkan sokongan dan bantuan akan diberikan kepada pengurusan baru yang baru nanti.

“Saya berharap semua yang cintakan sukan bakal memberikan sokongan dan bantuan kepada pengurusan baru seperti mereka lakukan terhadap saya selama 19 tahun ini.

“Sukan akan sentiasa memainkan peranan penting dalam kehidupan di Malaysia dan juga membolehkan kehidupan dalam harmoni,” katanya.

Disiarkan pada: December 29, 2017 @ 11:00am
d