arena

'Setakat ini OK lagi'

Oleh Naqib Nor Said

Kuala Lumpur: Pengendali Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Lim Chiow Chuan mengakui berpuas hati dengan persembahan skuad bimbingannya yang mudah menjinakkan TNB Thunderbolts 5-2 dalam aksi pemanas badan, semalam.

Razie Rahim dan Syamim Yusof masing-masing menyumbat dua gol pada aksi di Stadium Hoki Kuala Lumpur sebelum Dedy Ariyadi melengkapkan kemenangan bergaya KLHC.

Chiow Chuan yang kelihatan gembira dengan persembahan itu memuji barisan pemainnya termasuk penyerang muda yang baharu diikat dari TNB, Hafiizhuddin Zaidi yang cepat menyesuaikan diri dengan strategi diterapkannya.

“Saya rasa pemain saya menunjukkan prestasi yang baik walaupun enam pemain import hanya akan tiba minggu depan.

“Pada aksi hari ini (semalam) saya lebih banyak mencuba mempelbagaikan taktikal situasi dalam perlawanan dan menyiapkan pemain untuk menghadapi segala kemungkinan dalam perlawanan.

“Malah, saya turut gembira dengan prestasi dipamerkan Hafiizhuddin yang menunjukkan peningkatan mendadak dan saya percaya dia memiliki potensi untuk mewakili negara,” katanya.

KLHC yang juga juara bertahan Liga Perdana TNB memulakan aksi pramusim dengan cemerlang apabila turut membelasah Maybank 4-0 kelmarin.

Dalam perkembangan sama, bekas penolong jurulatih kebangsaan itu mengesahkan enam pemain importnya hanya akan tiba minggu depan secara berperingkat.

Namun, hanya dua tonggak Korea Selatan, Lee Nam Yong dan Jang Jong Hyun sempat beraksi pada pusingan awal Piala Tan Sri P Alagendra menentang Kedah Hockey Team, Rabu depan.

Sementara Tom Carson dari Britain serta tiga bekas pemain kebangsaan Australia, Nick Budgeon, Josh Pollard dan Matthew Willis akan tiba pada 4 dan 6 Januari depan.

Disiarkan pada: December 29, 2017 @ 11:15am
d