arena

PSM nanti tarikh jumpa Khairy

Oleh Azlan Muhammad Zain

PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) masih menanti tarikh untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menerusi mesyuarat khas yang diadakan minggu lalu, persatuan itu memutuskan mengambil langkah berkenaan susulan pengguguran sepak takraw sebagai sukan teras oleh Majlis Sukan Negara (MSN) selain tidak dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak.

Perkembangan itu disahkan oleh Penolong Setiausaha II PSM, Yusoff Ali, sebentar tadi.

“Sehingga kini PSM masih menanti tarikh untuk mengadakan pertemuan itu dan berharap ia berlangsung secepat mungkin,” katanya.

Pada mesyuarat khas minggu lalu, PSM memutuskan tidak akan membuat rayuan terhadap dua keputusan berkenaan selain tidak akan berbincang dengan MSN, sebaliknya terus berjumpa Khairy.

Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail dilaporkan berkata tiada alasan kukuh untuk mereka mengemukakan rayuan dan sebaliknya menyerahkan kepada Khairy bagi menentukan tarikh sesuai untuk mengadakan pertemuan.

Terdahulu pada awal bulan ini, Khairy mengumumkan sepak takraw antara sukan yang digugurkan daripada sukan teras selain tidak dipertandingkan pada temasya SUKMA Perak. Turut digugurkan adalah sukan angkat berat dan taekwondo.

Antara alasan yang diberikan MSN adalah prestasi pasukan kebangsaan di Sukan SEA merosot dan tidak pernah memenangi emas sekiranya Thailand mengambil bahagian pada acara yang sama.

Disiarkan pada: December 29, 2017 @ 5:21pm
d