arena

2018 masih samar buat Woods

Oleh AFP

LOS ANGELES: Tiger Woods berkata dia sudah meningkatkan tahap permainannya, namun jadualnya bagi tahun depan masih belum jelas ketika dia berhasrat membuat kemunculan semula selepas pulih dari kecederaan.

Dalam satu kenyataan menerusi laman sesawangnya berkaitan pencapaian 2017 dan cabaran 2018, juara major 14 kali itu berharap dapat beraksi dalam semua kejohanan termasuk Jelajah PGA Amerika Syarikat.

“Kini, saya dapat rasakan sudah ada peningkatan,” kata Woods mengenai keadaannya sejak menyertai Cabaran Dunia Hero di Bahamas pada November lalu.

“Saya terus melakukan peningkatan dan cuba untuk lebih kuat agar dapat menangani tekanan kerja semula. Saya mahu bermain dalam jadual penuh pada 2018.

“Ia membabitkan kejohanan berturutan.. saya tak tahu,” kata Woods. “Saya hanya perlu terus berusaha ke atas tahap badan saya dan permainan dan lihat bagaimana hasilnya.

“Saya harap, saya tahu di mana saya akan bermain dan bila saya akan bermain - ia adalah lebih mudah jika ada persediaan untuk itu. Tetapi kami memang tidak tahu. Ini semua masih belum diketahui.”

Woods terlepas semua kejohanan pada musim 2015/16 dan cuba membuat penampilan semula pada awal 2017 namun ia terpaksa dihentikan kembali akibat kecederaan.

Pemain itu kemudiannya menjalani satu lagi pembedahan belakang pada April dan berehat sehinggalah Cabaran Dunia Hero - acara tidak rasmi yang dianjurkannya bagi tujuan kebajikan.

Woods berkata dia akhirnya dapat bermain tanpa kesakitan, menamatkan saingan di tempat kesembilan daripada 18 pemain - dan mendahului pada pusingan kedua.

“Rasa seronok dapat bermain dengan baik selepas sekian lama,” katanya.

Disiarkan pada: December 30, 2017 @ 10:25am
d