arena

'Menangis' nak kejar City

Oleh AFP

MANCHESTER: Jose Mourinho gembira dengan sokongan kewangan pasukan Manchester United, namun turut mengakui agak sukar mencabar pesaing terdekatnya, Manchester City yang berbelanja lebih mewah berbanding mereka.

Pengendali United itu mengulas lanjut mengenai komennya sebelum ini selepas The Red Devils diikat 2-2 oleh Burnley pada Selasa lalu, yang menyaksikan City kini mendahului saingan Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan 15 mata.

Pada Selasa lalu, Mourinho mendakwa sudah membelanjakan 300 juta pound sterling (RM1.6 billion) sepanjang 18 bulan berada di Old Trafford tapi ia masih belum mencukupi untuk bersaing dengan jirannya yang berbelanja melebihi 75 juta pound sterling (409.8 juta) dalam tempoh sama berbanding mereka.

Mourinho difahamkan sedang cuba mempengaruhi pemilik kelabnya untuk menyusun semula barisan pemain dengan membandingkan kelebihan diterima Pep Guardiola hingga berjaya mendominasi saingan liga domestik ketika ini.

“Ia sangat sukar. Adakah anda fikir kelab boleh meletakkan 600 juta pound (RM3.2 billion) dan membeli enam pemain dengan setiap satunya bernilai 100 juta pound (RM500 juta), tapi kelab tidak boleh melakukannya,” katanya.

“Saya tidak boleh menaruh harapan yang terlalu tinggi dan melihatkan kepada senario pasukan ketika ini, agak sukar untuk kami bersaing dengan pasukan teratas liga.

“Lihat bagaimana Guardiola berjaya mengubah City. Daripada menggunakan penjaga gol England (Joe Hart), mereka mendapatkan penjaga gol lain dari Barcelona (Claudio Bravo).

“Bukan itu saja, mereka turut menukar dua pemain yang bagus tetapi sudah berusia lebih 30 tahun iaitu Pablo Zabaleta dan Aleksandr Kolarov dengan menggantikan tiga pemain. Satu dari dari Tottenham (Kyle Walker), satu dari Monaco (Benjamin Mendy) dan satu lagi dari Real Madrid (Danilo).”

Malah, Mourinho turut memberi contoh kepada perubahan pasukan Paris Saint-Germain (PSG) yang menyaksikannya sanggup berbelanja besar setiap tahun bagi mengekalkan penguasaan mereka di saingan liga Perancis.

“PSG antara contoh terbaik, di mana mereka musim ini sanggup mengeluarkan wang yang besar untuk mendapatkan dua penyerang terbaik dunia iaitu Neymar dan Kylian Mbappe,” katanya.

“Mereka juga mendapatkan Angel Di Maria, Julian Draxler, Lucas Moura dan Javier Pastore. Jadi anda akan lihat bagaimana wang mampu membawa perubahan,” kata Mourinho yang juga pernah membimbing Inter Milan dan Chelsea.

Disiarkan pada: December 30, 2017 @ 10:40am
d