arena

Tak semudah dapat slot automatik

Oleh Syafiq Aznan

PERKONGSIAN Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menyifatkan cadangan menawarkan slot automatik ke saingan Liga Super kepada pemenang Piala Cabaran musim hadapan sukar untuk dilaksanakan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam berkata ini kerana penganjuran kejohanan itu tidak selari dengan tujuan sebenar pengenalannya.

Sambil menghargai cadangan itu, katanya, antara matlamat penganjuran piala itu adalah bagi menambah jumlah aksi kompetitif untuk memastikan pasukan tidak layak ke saingan Piala Malaysia dapat kekal aktif sepanjang musim.

“Cadangan terbabit tidak mudah untuk dilaksanakan apatah lagi apabila ia membabitkan kelayakan beraksi dalam Liga Super. Pelbagai kebarangkalian perlu difikirkan dan banyak perkara yang perlu diubah nanti.

“Jadi, buat masa ini piala yang baharu ini akan dipromosikan dan kami harap akan diberi sokongan oleh penyokong kerana prestij ataupun tidak, ia terletak pada sokongan, liputan dan organisasi pertandingan.

“Kami harus fokus pada matlamat pertandingan ini diwujudkan iaitu bagi menambah bilangan perlawanan kompetitif bagi mereka yang tidak layak ke pertandingan Piala Malaysia.

“Piala ini seharusnya dilihat sebagai pertandingan sokongan kepada pasukan yang tidak layak ke Piala Malaysia dan bukan untuk bersaing dengan Piala Malaysia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Pensyarah Kanan Fakulti Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa mengesyorkan supaya Piala Cabaran dapat menawarkan kelayakan untuk pasukan Liga Perdana beraksi di Liga Super atau pasukan tercorot Liga Super dapat terus kekal bersaing dalam saingan itu pada musim berikutnya.

Katanya, dengan tempat seperti juara Liga Europa mara ke Liga Juara-Juara secara automatik, prestij Piala Cabaran itu dapat dipertingkatkan dan tidak hanya akan dipandang ringan oleh pasukan yang bertanding.

Penganjuran Piala Cabaran diumumkan oleh FMLLP kelmarin.

Disiarkan pada: December 30, 2017 @ 3:50pm
d