arena

Peng Soon-Liu Ying kejar emas Komanwel

Oleh Helmi Talkah

BEREGU campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying bukan saja sudah bersedia untuk merebut tempat bagi beraksi pada Sukan Komanwel 2018 tetapi turut memasang impian untuk memenangi pingat emas pada temasya itu yang akan berlangsung di Gold Coast, Australia, April depan.

Peng Soon, berkata selepas gagal merealisasikan impian itu dalam dua penampilan sebelum ini iaitu pada edisi 2010 di New Delhi, India dan 2014 di Glasgow, Scotland, dia merasakan ini adalah peluang terbaik untuk menebus kehampaan itu.

Di New Delhi, Peng Soon bergandingan bersama Liu Ying manakala di Glasgow dia beraksi dengan Lai Pei Jing dan berjaya meraih gangsa.

“Memang persaingan yang sengit untuk mendapat tempat bagi mewakili Malaysia bagi acara beregu campuran apatah lagi saya dan Liu Ying baru saja kembali bersama selepas berpisah sejak Mei lalu. Kami perlu cepat mendapatkan rentak kami.

“Kami akan berikan aksi terbaik kami dalam dua kejohanan awal tahun depan bagi membuktikan kepada jurulatih betapa kami layak untuk disenaraikan. Jika dapat, saya memang meletakkan sasaran untuk memenangi emas,” kata Peng Soon.

Dengan status Peng Soon-Liu Ying sebagai pemenang perak Olimpik Rio 2016, peluang sudah pastinya tinggi untuk mereka meraih emas di Gold Coast tetapi dengan syarat mereka mampu kembali pada tahap prestasi sebenar.

Semalam, jurulatih beregu campuran negara, Pang Cheh Chang memaklumkan tempat untuk Peng Soon-Liu Ying ke Sukan Komanwel belum terjamin biarpun sudah kembali bersama sebaliknya mereka akan dinilai dalam empat kejohanan awal tahun depan sebelum keputusan dibuat.

Peng Soon-Liu Ying kini bersaing dengan satu lagi pasangan, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

“Kian Meng-Pei Jing sudah menunjukkan peningkatan yang cukup baik dan sudah pasti mereka juga akan bekerja keras untuk mendapat tempat. Kami akan bersaing secara sihat dan siapa yang terpilih pastinya akan buat yang terbaik untuk Malaysia,” kata Peng Soon.

Disiarkan pada: December 30, 2017 @ 4:46pm
d