arena

2017 tahun cemerlang hoki wanita

Oleh Saiful Affendy Sapran

KETUA jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menyifatkan 2017 sebagai tahun cukup cemerlang untuk barisan pemainnya selepas sering dipandang rendah pasukan gergasi ketika tahun pertama beliau membimbing pasukan pada 2016.

Jelas Dhaarma, kejayaan muncul naib juara pada pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Kuala Lumpur sekali gus layak kali pertama ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Brussels, Belgium yang juga kempen kelayakan ke Piala Dunia 2018 di London, adalah kemuncak kejayaan kepada pasukannya.

“Jelas sekali itu adalah kejayaan cukup manis untuk skuad negara yang selama ini tidak dipandang sebagai pasukan pencabar.

“Walaupun kami gagal layak ke Piala Dunia buat kali pertama, bagi saya setiap pemain sudah bersungguh-sungguh mempamerkan kemampuan mereka.

“Harus diingat, kita tidak layak ke Piala Dunia bukan kerana pemain tidak bermain dengan bagus di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, tetapi hakikatnya kita belum mencapai tahap seperti pasukan lain yang sudah kerap kali beraksi di kempen kelayakan.

“Jadi saya terima kegagalan ini dengan hati terbuka,” katanya.

Tegas Dhaarma, kecemerlangan sepanjang 2017 harus diteruskan untuk 2018 yang menyaksikan skuad negara bakal mengharungi tiga kejohanan utama - Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Trofi Juara-Juara Asia.

“Kecemerlangan pasukan sepanjang 2017 mula membuka mata beberapa pasukan utama dunia.

“Saya pasti mereka tidak akan memandang mudah cabaran daripada skuad negara apabila bertemu dalam kejohanan utama sepanjang tahun depan,” katanya.

Disiarkan pada: December 30, 2017 @ 6:00pm
d