arena

AFC boleh siasat PSSI jika...

Oleh Syafiq Aznan

KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) hanya boleh memulakan siasatan ke atas Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) jika larangan dikenakan ke atas pemain mereka untuk beraksi di luar negara dijadikan sebagai undang-undang rasmi oleh persatuan itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John, berkata AFC perlu meneliti undang-undang terbabit terlebih dulu selepas ia dilaksanakan dan siasatan akan dijalankan jika ia melanggar peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Bagaimanapun, berdasarkan apa yang dimaklumkan, tindakan itu lebih bersifat sebagai permintaan kepada pemain Indonesia bagi memantapkan pasukan kebangsaan mereka.

“Saya rasa terpulang kepada kehendak pemain itu sendiri untuk membuat keputusan. Buat masa ini tiada tindakan boleh diambil kerana ia masih cadangan saja.

“Kalau ia dijadikan peraturan, AFC perlu melihat dulu apa yang dimaksudkan dalam peraturan terbabit dan jika didapati melanggar peraturan FIFA dan juga AFC, kami boleh memulakan siasatan kerana pemain bebas bermain untuk mana-mana kelab di mana-mana negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, Ketua Umum PSSI, Edy Rahmayadi melarang pemain dari Indonesia untuk menyertai pasukan di Malaysia kerana bimbang corak permainan tonggak skuad kebangsaan Indonesia mudah dibaca dan dikaji jurulatih skuad kebangsaan Malaysia.

Larangan itu dikeluarkan selepas dua tonggak skuad Bawah 23 tahun (B-23) Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn sah menyertai Selangor pada musim depan dengan dia turut menyifatkan dua pemain itu sebagai tidak patriotik dan mata duitan

Pada masa sama, Edy juga melahirkan kebimbangan kemungkinan pasukan Selangor tidak akan melepaskan pemain mereka ke latihan pusat skuad kebangsaan Indonesia bagi menghadapi saingan Sukan Asia yang akan berlangsung tahun depan.

Disiarkan pada: December 30, 2017 @ 6:19pm
d