arena

VAR sentap momentum Lazio

Oleh Reuters

MILAN: Pengendali Lazio, Simone Inzaghi berkata sistem ulang tayang video (VAR) yang sedang diuji dalam saingan Serie A meragut keseronokan bola sepak selepas penalti pasukannya ditarik balik awal pagi tadi.

Menurut Inzaghi keputusan VAR menyebabkan pasukannya hilang tujuh mata musim ini selepas keputusan seri tanpa jaringan di Inter Milan. Tetapi dia lebih bimbang akan kesannya terhadap pemain-pemain, jurulatih dan peminat.

“Keputusan saya sudah pasti negatif kerana ia mengeluarkan faktor keseronokan daripada bola sepak, pemain-pemain tidak lagi berpelukan sesama sendiri selepas menjaringkan gol sebaliknya terus memandang kepada pengadil,” kata Inzaghi.

“Ia merampas keseronokan kami dan peminat-peminat. Bagi saya, ia menghilangkan adrenalin dan kegembiraan dalam bola sepak.”

Lazio turut terbabit dalam Liga Europa musim ini dan Inzaghi berkata dia lebih sukakan pertandingan itu berbanding Serie A kerana tiada VAR.

“Saya lebih menikmati perlawanan Liga Europa,” katanya.

Lazio dianugerahkan penalti pada minit ke-60 selepas hantaran lintang Ciro Immobile terkena kaki dan kemudian tangan pertahanan Inter, Milan Skriniar. Bagaimanapun pengadil mengubah keputusannya selepas merujuk kepada VAR yang mengatakan insiden berkenaan tidak disengajakan.

Serie A antara beberapa kejohanan yang menguji teknologi VAR sebelum badan penggubal undang-undang bola sepak (IFAB) memutuskan sama ada membenarkan penggunaannya secara tetap.

Presiden FIFA Gianni Infantino sudah memutuskan untuk menggunakan VAR di Piala Dunia dan IFAB dijangka akan membuat keputusan pada Mac ini.

Sebelum ini Inzaghi mendakwa pasukannya kehilangan dua mata ketika keputusan seri 1-1 menentang Fiorentina, dan tiga ketika tewas 3-1 di tangan Torino.

Disiarkan pada: December 31, 2017 @ 11:40am
d